Penglibatan pelajar BPLB dan wakil kelab pelajar singkap cabaran isu tanpa negara
Berita dan gambar Putri Aedryna Sufia Ahmad Aezzat (Pelajar Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan)
SINTOK, 15 Jun 2025: Forum wacana intelektual bertajuk Intellectual Discourse: Nowhere To Belong: Statelessness and Human Rights in ASEAN anjuran Persatuan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB), Thinkers mengupas isu-isu ketiadanegaraan khususnya membabitkan penglibatan Malaysia di persada rantau ASEAN.
Forum tersebut menampilkan dua ahli panel iaitu Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa, Prof. Dr. Salawati Mat Basir, dan Pegawai Koordinasi Antarabangsa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Siti Hanna Aisya Noorazman, bersama moderator, Hanan Sofea Ahmad Zaki.
Peserta-peserta forum ini pula melibatkan pemimpin-pemimpin pelajar yang terdiri daripada persatuan-persatuan pelajar UUM seperti persatuan-persatuan KPC, LAWSOC, UUMUN, UCAP dan lain-lain lagi.
Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, penganjuran forum sebegini memainkan peranan penting dalam memperluas horizon pendidikan undang-undang melangkaui sekadar hafalan peruntukan dan doktrin.
“Melalui wacana intelektual ini, kita dapat mengupas isu kritikal berkaitan kewujudan golongan tanpa negara ini yang terpinggir.
“Ia membuka ruang kesedaran kepada masyarakat supaya lebih cakna dan bertanggungjawab terhadap cabaran hak asasi ini,” katanya.
Pengarah program, Norkhaliela Faroladras pula menekankan keprihatinan terhadap peningkatan migrasi, kemelut identiti, dan krisis kemanusiaan rentas sempadan yang semakin membimbangkan sebagai pencetus utama forum ini.
“Sebagai belia, kita perlu memulakan persoalan yang mendalam, berfikir secara kritikal dan tidak memandang ringan dan cakna tentang semua cabaran hak asasi yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan BPLB, Ahmad Zikri Ahmad Rostam menyatakan bahawa forum ini selari dengan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.
Menurutnya, sebagai pelajar ASEAN tidak boleh berdiam diri, malah mesti berfikir, faham dan menegakkan pendirian bersama.
“Wacana ini menjadi langkah pertama untuk kita bersuara,” katanya.
Antara isu penting yang dibangkitkan dalam forum ialah realiti kompleks pelarian tanpa dokumen di Malaysia.
Dr. Salawati membangkitkan stereotaip dan diskriminasi terhadap pelarian, khususnya mereka yang berkulit gelap, sambil menekankan ketiadaan dokumen menyebabkan mereka dinafikan akses kepada pendidikan, kesihatan dan pekerjaan bermaruah.
“Kita kelihatan Islamik, tapi gagal mengamalkan nilai-nilai Islam sebenar dalam layanan terhadap pelarian,” katanya yang mengkritik hipokrasi masyarakat terhadap golongan rentan ini.
Siti Hanna Asiya pula mengetengahkan usaha SUHAKAM dalam menangani isu ketiadaanegaraan di Sabah, termasuk kerjasama rentas sempadan dengan Komnas HAM Indonesia dan cadangan penempatan semula komuniti Bajau Laut di Pantai Manis.
Beliau turut menerangkan peranan SUHAKAM dalam memperkukuh kerangka undang-undang berkaitan serta advokasi hak kanak-kanak tanpa kerakyatan.
Panel juga menyentuh keengganan Malaysia menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, disebabkan kebimbangan tentang beban kewangan dan implikasi geopolitik, termasuk kemungkinan peningkatan kemasukan pelarian Rohingya dari negara jiran.
Dalam sesi ketiga, Dr. Salawati turut mengkritik kegagalan ASEAN menyediakan respons kolektif terhadap krisis pelarian, serta kelambatan mekanisme perlindungan serantau yang hanya tertumpu kepada aspek ekonomi.
Forum ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Dr. Harlida kepada kedua-dua ahli panel sebagai tanda penghargaan atas perkongsian bernas mereka mengenai isu hak asasi dan kemanusiaan di rantau ini.