Campus

Platform susun strategi dan peluang

SINTOK, 28 Oktober – Bengkel Pemantapan Pelan Strategik UUM 2025 menjadi platform untuk menyusun langkah dan peluang untuk warga kampus memupuk semangat kebersamaan dan kerjasama bagi mencapai aspirasi UUM di masa hadapan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dunia pendidikan tinggi terus berkembang pesat, dengan cabaran baru seperti transformasi digital, globalisasi, serta peningkatan persaingan di peringkat global.

“Tahun ini merupakan satu detik penting dalam perjalanan UUM, kita sedang melangkah ke penghujung fasa ketiga Pelan Strategik UUM 2021-2025.

“Dalam fasa ketiga Pelan Strategik, fokus kita bukan hanya kepada penambahbaikan akademik dan penyelidikan, tetapi juga pada aspek keterlibatan industri, kerjasama antarabangsa, serta transformasi digital dan keberkesanan tadbir urus.

“Ini sejajar dengan hasrat kita untuk memastikan graduan UUM terus relevan, kompetitif, dan mampu memberi impak yang signifikan kepada negara serta masyarakat global.

“Sepanjang tempoh ini, kita juga telah memperluas rangkaian kerjasama dengan pelbagai sektor industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan, dan memperkukuh bidang penyelidikan yang menjadi nadi kepada pengetahuan baru,” ujarnya pada program anjuran Bahagian Perancangan dan Prestasi  Korporat.

UUM juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baru bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif dan responsif terhadap perubahan teknologi.

Dalam menuju ke arah fasa keempat Pelan Strategik UUM 2026-2030, beliau   menyeru semua warga universiti untuk terus mempamerkan kesungguhan, dedikasi, dan kreativiti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Pada tahun 2025, kita perlu memberi tumpuan kepada pemerkasaan inovasi, memperkukuh reputasi global, serta memperluas penglibatan secara lebih mendalam dengan masyarakat dan industri, seiring dengan matlamat kita untuk menjadikan UUM sebagai universiti bertaraf dunia,” ucapnya di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, semalam.

Beliau mengajak peserta mengambil peluang untuk menilai kelemahan strategi agar penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi memperkukuh gerak kerja tahun hadapan dan memastikan kesinambungan kecemerlangan UUM pada masa akan datang.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button