Campus

Power BI tingkatkan kompetensi digital dalam kalangan staf STML

Berita dan gambar Dr. Fadhilah Mat Yamin

SINTOK, 13 Mei 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan bengkel berimpak tinggi bertajuk “Workshop Power BI” yang berlangsung di Bilik Green Idea.

Program anjuran JK Latihan dan Seminar STML ini berjaya menarik penyertaan yang menggalakkan daripada kalangan staf akademik serta pentadbiran.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee, pakar dalam bidang data analitik dan visualisasi, yang telah membimbing peserta.

Sepanjang bengkel ini berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran praktikal yang amat berguna dalam pengurusan dan penganalisisan data menggunakan Power BI, antaranya cara membina papan pemuka (dashboard) yang interaktif dan profesional bagi memudahkan penyampaian maklumat secara visual yang lebih menarik dan mudah difahami.

Di samping itu, peserta turut diajar teknik menghubungkan Power BI dengan pelbagai sumber data seperti Microsoft Excel dan data dari laman sesawang, sekali gus membolehkan integrasi data secara lebih menyeluruh dan efisien.

Peserta menunjukkan keterujaan dengan pendekatan bengkel yang hands-on dan mudah difahami.

Peserta, Dr. Noor Idora Mohd Sukarnoor melahirkan rasa teruja mengikuti bengkel tersebut di mana dia sudah boleh membina papan pemuka yang kelihatan profesional.

“Tak sangka Power BI begitu mesra pengguna dan praktikal!

“Bengkel ini membuka mata saya tentang bagaimana data boleh diolah dan divisualkan secara menarik, malah sangat membantu dalam menyediakan laporan dengan lebih efisien,” katanya.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari segi peningkatan kemahiran teknikal, malah turut menyokong agenda digitalisasi universiti dalam memperkukuh daya saing warga kerja UUM. Diharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat diteruskan demi menyokong pembangunan profesional staf STML secara berterusan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button