Campus

PPDK IMPIAN UUM: Harapan menjadi realiti

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 13 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan agenda kesejahteraan komuniti dan inklusiviti melalui penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang akan dikenali sebagai Pusat Intervensi Mesra dan Pemulihan Anak-Anak Istimewa UUM (PPDK IMPIAN UUM).

Satu majlis penyerahan cek cura berjumlah RM1.5 juta telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman kepada Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Majlis tersebut telah berlangsung di ruang rehat pelajar Inapan Siswa (Inasis) Proton, UUM, dan disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), barisan pengurusan tertinggi UUM, serta jawatankuasa penaja PPDK IMPIAN UUM.

Pengerusi PPDK IMPIAN UUM, Dr. Nazmin Abdullah berkata, penubuhan PPDK IMPIAN UUM menjadikan ia sebagai PPDK@Universiti Ke-10 yang diwujudkan di universiti awam di Malaysia di bawah inisiatif Belanjawan 2026 dan dijangka akan mula beroperasi dalam tahun ini.

Menurutnya, inisiatif ini dijangka memberi nilai tambah yang signifikan kepada warga universiti, khususnya sebagai pusat sokongan kepada staf yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas.

“Selain berfungsi sebagai pusat komuniti, PPDK IMPIAN UUM turut menyokong aspirasi universiti dalam membentuk persekitaran kampus yang inklusif dan sejahtera,” katanya.

Untuk makluman, jawatankuasa penaja PPDK IMPIAN UUM terdiri dari kakitangan akademik dan bukan akademik dari pelbagai pusat pengajian dan pusat kecemerlangan, juga bidang kepakaran.

Seiring dengan peranan universiti sebagai peneraju ilmu dan inovasi, PPDK IMPIAN UUM juga akan dibangunkan sebagai hab penyelidikan dan inovasi. Penubuhan pusat ini berpotensi menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam kalangan ahli akademik serta memberi impak yang signifikan kepada pembangunan universiti dan masyarakat.

Penubuhan PPDK IMPIAN UUM mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkasa kesejahteraan komuniti serta memacu transformasi sosial dan akademik secara holistik. – Dr. Yusniza Mohd Yusoff dan Dr. Nazmin Abdullah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button