Campus

Profesor Adjung bimbing pelajar tahun akhir SOL dengan kemahiran perbicaraan

Gambar Ahmad Termizi Othman

SINTOK, 13 Mei 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah mengundang khusus Yang Arif Dr. Johan Lee Kien How, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi membimbing pelajar tahun akhir berkenaan kemahiran mengendalikan perbicaraan mahkamah pada Program ‘Classroom to Courtroom: Advocacy in Action’ di DKG2/2.

Dr. Johan Lee yang juga Profesor Adjung SOL UUM berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan. Sebelum dilantik Hakim Mahkamah Tinggi, beliau adalah seorang peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Mahkamah Syariah, dan Mahkamah Agung Brunei.

Menerusi program ini, beliau telah berkongsi pengalaman beliau mengendalikan perbicaraan dan juga sudut pandang sebagai seorang hakim yang mengadilikan sesuatu kes.

Program turut dihadiri oleh tenaga pengajar subjek-subjek tahun akhir iaitu Pensyarah Prosedur Sivil, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman; Pensyarah Mooting dan Litigasi, Dr. Muhammad Nazrul Abd Rani, dan Pensyarah Undang-Undang Keterangan dan Prosedur Jenayah, Dr. Mukhriz Mat Rus.

Menurut Dr. Mukhriz, yang juga Pengerusi Program Sarjana Muda Undang-Undang, program ini bukan sahaja membantu pelajar memahami subjek tahun akhir berkenaan tata cara dan kemahiran mengendali perbicaraan, tetapi juga mendedahkan pelajar tahun akhir gambaran sebenar dan amalan guaman sebagai persiapan awal menjadi peguam tidak lama lagi.

Pusat Pengajian Undang-Undang juga merakamkan penghargaan buat Dr. Johan Lee atas kesudian dan kesungguhan dalam merealisasikan program ini. – Dr. Mukhriz Mat Rus

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button