Program Bicara Sosial teguh pupuk semangat kenegaraan dan perpaduan
Berita dan gambar Dr. Mohd Ahsani A.Malek
SINTOK, 5 Jun 2025: Program Bicara Sosial: Kenegaraan dan Perpaduan anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Kedah dan Kelab Rakan MCPF telah berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen, UUM.
Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani berkata, program ini bertujuan memperkenalkan fungsi dan hala tuju MCPF kepada warga kampus, di samping menyemai nilai kenegaraan dalam kalangan pelajar menerusi penglibatan langsung bersama tokoh-tokoh keselamatan negara.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Naib Pengerusi Kanan MCPF merangkap Profesor Adjung SAPSP, Dato’ Sri Ayob Yaakob, atas kesudian beliau hadir sebagai penceramah utama.
“Tema yang kita bincangkan hari ini iaitu kenegaraan dan perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi merupakan asas yang menjamin kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negara kita.
“Nilai-nilai seperti semangat patriotisme, toleransi dan tanggungjawab sivik harus dipupuk bukan sahaja melalui kuliah, tetapi melalui platform wacana seperti ini,” katanya.
Acara kemuncak adalah syarahan Profesor Adjung SAPSP oleh Dato’ Sri Ayob Yaakob yang membicarakan aspek kenegaraan dan perpaduan dalam konteks semasa.
Beliau mengupas bagaimana belia perlu memahami peranan mereka sebagai pemegang amanah masa depan negara. Isu-isu keselamatan sosial, anasir luar, serta cabaran dunia digital turut disentuh dalam syarahan yang penuh wibawa dan semangat nasionalisme.
Menurutnya, pelajar perlu menanamkan tekad untuk menjadi agen penyatuan masyarakat keran mahasiswa bukan sekadar pewaris ilmu, tetapi adalah arkitek masa depan negara yang harus mempertahankan nilai perpaduan dan keselamatan dengan berani dan berintegriti.
Beliau turut berkongsikan pengalaman dan cabaran yang beliau harungi semasa menuntut ilmu, yang mana mengalami beberapa kali kegagalan. Namun beliau bangkit sehinggalah beliau menjawat jawatan yang tinggi dalam pasukan PDRM.
Dato’ Sri Ayob juga menekankan pentingnya penghayatan setiap rukun negara serta Perlembagaan Malaysia bagi menjamin keharmonian dan perpaduan di antara masyarakat majmuk di Malaysia.
Program berakhir sekitar tengah hari dengan harapan ia akan mencetuskan lebih banyak dialog ilmiah dan kolaborasi strategik ke arah pembentukan masyarakat kampus yang sejahtera dan berdaya tahan.