Program bimbingan paten tingkat kepakaran staf UUM
Gambar Muhammad Aiman Najmi
SINTOK: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menganjurkan program Bimbingan Penyediaan Dokumen Paten Siri 1/2024 di EDC UUM.
Bengkel tersebut disertai 20 staf akademik dari pelbagai pusat pengajian di UUM.
Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar berkata, program ini merupakan inisiatif penting bagi memperkukuhkan kemampuan staf UUM dalam menghasilkan dokumen paten berdasarkan kepada hasil penyelidikan masing-masing dan seterusnya memberi manfaat kepada universiti, industri dan masyarakat.
Menurutnya, ia bertujuan untuk memberikan pendedahan dan bimbingan secara komprehensif kepada peserta dalam menyediakan dokumen paten yang berkualiti, sesuai dengan piawaian MyIPO.
Katanya, peserta diberi peluang untuk mendalami proses penyediaan paten, termasuk langkah-langkah awal untuk menulis spesifikasi paten, pengurusan harta intelek serta kepentingan perlindungan hak cipta dan inovasi.
Sepanjang program berlangsung, fasilitator daripada MyIPO memberikan penerangan terperinci berkenaan aspek teknikal dan undang-undang dalam penyediaan dokumen paten.
Peserta juga terlibat dalam beberapa sesi latihan amali di mana mereka berpeluang untuk menyediakan draf dokumen paten masing-masing berdasarkan projek penyelidikan yang sedang atau telah dijalankan.
Di akhir program, sebanyak 10 draf awal dokumen paten telah berjaya dihasilkan dan selesai disemak oleh fasilitator MyIPO. Dokumen paten ini akan dinilai selanjutnya di peringkat ICC bagi tujuan pemfailan pada tahun 2024 dan 2025.
Melalui kerjasama erat antara UUM dan MyIPO, program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kemahiran staf akademik UUM dalam pengurusan harta intelek khususnya paten, sekali gus menyokong usaha universiti untuk terus maju dalam bidang inovasi dan pengkomersialan.
Program ini juga membuka ruang kepada lebih banyak projek penyelidikan berpotensi untuk dipatenkan dan dikomersialkan pada masa hadapan. – Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad