Campus

Program Pensijilan OSH-C Training tingkat kesedaran keselamatan dan daya saing graduan UUM

Gambar Nur Farah Johari

SINTOK, 3 Julai 2025: Seramai 30 pelajar telah menyertai Program Pensijilan Occupational Safety and Health Coordinator (OSH-C) Training yang berlangsung selama tiga hari di Bilik Kedah, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Tatacara Sdn. Bhd., penyedia latihan bertauliah bagi memberikan pendedahan intensif berkaitan peranan dan tanggungjawab seorang penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Pensijilan OSH-C ini merupakan antara keperluan penting yang digariskan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) Pindaan 2022, yang menetapkan bahawa setiap organisasi yang mempunyai lima orang pekerja atau lebih wajib melantik seorang OSH Coordinator yang terlatih dan diperakui.

Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila tempat yang ditawarkan penuh dalam masa singkat, sekali gus mencerminkan kesedaran tinggi dalam kalangan pelajar terhadap keperluan keselamatan dan usaha memperkukuhkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan.

Sepanjang program ini, peserta didedahkan kepada pelbagai topik penting berkaitan OSH merangkumi pengurusan bahan kimia, pengenalan kepada penyakit berkaitan pekerjaan, kemudahan berkaitan premis dan tempat kerja, asas dan latihan praktikal HIRARC (‘Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control’) dan pelbagai   topik lain.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans, Tracy Hew berkata, dia teruja dengan perkongsian jurulatih berberpengalaman dalam menyampaikan ilmu dengan pendekatan yang bersahaja dan mudah difahami.

Menurutnya, dia amat terinspirasi dengan perkongsian daripada jurulatih sepanjang program ini. Mereka bukan sahaja mahir dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, malah begitu berpengalaman dalam menyampaikan ilmu dengan penuh semangat dan mesra peserta.

“Topik-topik yang sebelum ini kelihatan rumit seperti pengurusan bahan kimia, HIRARC dan undang-undang keselamatan berjaya disampaikan dengan jelas melalui contoh-contoh praktikal dan situasi sebenar di tempat kerja.

“Pendekatan yang digunakan menjadikan setiap sesi lebih interaktif, bermanfaat dan membangkitkan kesedaran kami tentang pentingnya peranan OSH-C dalam dunia pekerjaan sebenar,” katanya.

PPKKG berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala demi melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi akademik, malah memiliki nilai tambah dalam aspek pematuhan keselamatan dan profesionalisme. -Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button