Program Tamkin Al-Mahabbah IPIZ 2.0 kukuhkan ukhuwah dan majukan produk asnaf
Gambar Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ)
SINTOK, 19 Januari 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Tamkin Al-Mahabbah IPIZ 2.0, baru-baru ini.
Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh silaturahim tetapi juga memberi sokongan nyata kepada usahawan asnaf dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui penjualan produk berkualiti.
Menurutnya, program ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara IPIZ dan pelbagai jabatan serta pusat tanggungjawab (PTJ) di universiti tersebut.
Katanya, program ini merupakan kesinambungan daripada edisi pertamanya yang dilancarkan pada 2024 yang berkonsepkan untuk mempromosikan semangat ukhuwah dan menyokong produk usahawan asnaf yang dihasilkan di bawah kelolaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
“Cenderahati berupa produk asnaf telah diedarkan kepada lebih 20 PTJ, termasuk Pejabat TNCPI, UUM Press, dan Unit Integriti.
“Program ini membuktikan bahawa usaha kecil mampu memberi impak besar, terutama dalam mempromosikan kesejahteraan ekonomi asnaf,” katanya.
Program bermula dengan sesi tazkirah dan taklimat, diikuti aktiviti pembungkusan cenderahati dan sesi penyerahan kepada PTJ.
Tahun ini, program diakhiri dengan harapan untuk menjadikannya agenda tahunan, selaras dengan misi UUM dan IPIZ untuk memperkukuhkan hubungan strategik serta menyokong golongan yang memerlukan. – Azim Hasyimi Abdul Rahman