Rifhan Teknologi hulur sumbangan wakalah zakat dan komputer riba kepada pelajar UUM
Gambar oleh Pusat Zakat dan Wakaf UUM
CYBERJAYA, 17 Oktober 2025: Pusat Zakat dan Wakaf (PZW), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima sumbangan wakalah zakat daripada Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Pejabat Rifhan Teknologi Sdn. Bhd., Cyberjaya.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. merangkap Alumni UUM, Tuan Haji Abdul Hafiz Win, kepada Pengarah PZW, Dr. Zulkurnai bin Ghazali, dan Timbalan Pengarah PZW, Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil.
Sumbangan berupa wakalah zakat bernilai RM5,000 serta dua (2) unit komputer riba telah diserahkan kepada PZW untuk disalurkan kepada pelajar UUM yang layak menerima bantuan zakat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen dan keprihatinan Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. dalam membantu pelajar yang memerlukan serta memperkasa peranan zakat di UUM.
Dalam majlis tersebut, Dr. Zulkurnai menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. atas sumbangan yang diberikan. Beliau berkata, usaha seperti ini amat bermakna kerana bukan sahaja membantu pelajar yang memerlukan, tetapi juga mengukuhkan peranan PZW dalam menjaga kebajikan warga universiti.
PZW sentiasa mengalu-alukan sumbangan serta kerjasama strategik daripada pelbagai pihak bagi memperluas manfaat zakat demi kebajikan pelajar serta kesejahteraan universiti dan masyarakat.
Usaha sebegini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain.”
(Riwayat al-Tabarani)
– Aini Bahrum