Campus

SBM anjur Program Sinergi Pentadbiran Cemerlang dan Majlis Penghargaan Jasa

Gambar Muhamad Arief Fitri Shafie

SINTOK, 1 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menganjurkan Program Sinergi Pentadbiran Cemerlang dan Majlis Penghargaan Jasa sebagai sebahagian daripada inisiatif perhimpunan berkala staf pentadbiran dan penjawat SBM dalam usaha memacu sinergi, meningkatkan kolaborasi serta menyuntik semangat kerja berpasukan menjelang kuarter kedua tahun ini.

Program yang berlangsung dalam suasana mesra ini turut menjadi medan penghargaan buat tiga staf dedikasi yang bakal menamatkan perkhidmatan di SBM, iaitu Zaini Majid, Mohd Hilmi Noordin, dan Ahmad Hidayat Mohd Masir. Ketiga-tiga mereka telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang berkhidmat di SBM dan meninggalkan impak signifikan dalam bidang tugas masing-masing.

Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, program ini bukan sekadar perhimpunan biasa, tetapi sebuah platform strategik untuk memperkukuh komunikasi dalaman, memperkemas pengurusan kerja, serta menyelaras keutamaan jabatan demi mencapai sasaran strategik yang ditetapkan untuk separuh kedua tahun ini.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video kenangan dan sesi penyampaian ucapan oleh rakan-rakan sekerja yang menyentuh hati.

Program ini dijangka akan diteruskan secara berkala sebagai agenda tetap dalam kalendar SBM, dengan harapan untuk mewujudkan ekosistem kerja yang lebih inklusif, harmoni dan berpaksikan kecemerlangan. – Azam Arni Mohd Noor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button