SBM Day 2025 perkasa pembelajaran dan hubungan komuniti
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 7 Januari 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan SBM Day 2025 di Foyer SBM, semalam.
Program SBM Day 2025 yang berlangsung bermula 5 Januari selama tiga hari itu bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan pelajar, komuniti, dan pihak industri melalui pameran inovasi serta hasil pencapaian aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) pelajar kepada pihak industri dan komuniti setempat.
Inisiatif SBM yang telah dan akan dilaksanakan antara pihak kolaborasi industri serta komuniti setempat turut menyokong aspirasi pusat pengajian, universiti, dan kerajaan Malaysia untuk membentuk insan berterapkan konsep Malaysia Madani.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program ini mencerminkan komitmen UUM untuk melatih pelajar menjadi lebih yakin dan berdaya saing.
Menurutnya, UUM menggalakkan pelajar menguruskan program seperti ini untuk membina keyakinan diri serta meningkatkan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Beliau turut memaklumkan bahawa kadar ‘graduate employability’ UUM telah meningkat daripada 95 peratus pada 2023 kepada 96 peratus pada 2024, hasil usaha program seperti SBM Day.
“Tahniah kepada semua gerak kerja yang telah dilaksanakan bagi memastikan graduan daripada UUM mempunyai pekerjaan seperti mana yang telah disasarkan oleh negara,” katanya ketika merasmikan program Anak Angkat bersama Komuniti Pengusaha Nanas Kubang Pasu di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Cawangan Alor Setar.
Majlis diteruskan dengan gimik simbolik dan lawatan ke kiosk pengusaha nanas.
Sementara itu, Dekan BSM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, program ini merupakan kesinambungan kejayaan SBM Day 2023 yang berlangsung dua tahun lalu.
Menurutnya, tujuan penganjuran SBM Day adalah untuk menghargai rakan kolaborasi dan mendedahkan pelajar mengenai penganjuran program berskala besar.
Katanya, sebahagian besar perancangan dan pengurusan program ini dilaksanakan oleh pelajar SBM sendiri.
Beliau turut menekankan kejayaan pelajar dalam menguruskan 11 kiosk dan perniagaan pelajar seperti Nescafe, Eman Cafe, Pulun Cetak, dan beberapa kiosk lain.
Selain itu, Dr. Shuhymee juga menggalakkan orang ramai untuk melawat karnival keusahawanan dan booth pameran yang disediakan.
SBM turut memanjatkan penghargaan di atas sokongan pelbagai pihak, termasuk LPNM Cawangan Alor Setar sebagai rakan kolaborasi baharu, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang telah menyumbangkan RM35,000 menerusi program Uni-Challenge PUNB-UUM dan sumbangan biasiswa kepada pelajar SBM daripada alumni UUM, Shazmi Ali Sardar Ali bernilai RM40,000.
SBM Day 2025 ini juga dipenuhi dengan pelbagai program seperti sesi perkongsian daripada industri dan agensi kerajaan, pertandingan business pitching, PUNB Business Challenge, serta pameran SULAM yang melibatkan LPNM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Kedah.
Program ini turut menerima kunjungan dari Kolej MARA, Matrikulasi Kuala Nerang, serta komuniti setempat melalui program komuniti luar Explorace SBM.
Program ini diharapkan akan memberi impak yang positif terhadap usaha-usaha pembentukan para pelajar yang memenuhi ciri Madani serta memenuhi keperluan pasaran pada masa kini. – Nor Maisarah Mohamed Ali (Pelatih dari UiTM Shah Alam)