Scam Buster beri kefahaman tentang bahaya scam kepada pelajar
Gambar Muhammad Hazim Badrol Hisham dan Hafizah Zahirah Yahya
SINTOK, 3 Jun 2025: Penipuan atas talian semakin menjadi-jadi dalam era digital masa kini, dengan pelbagai taktik licik digunakan oleh scammer untuk memperdaya mangsa.
Sehubungan itu, program Scam Buster dianjurkan bagi memberi pendedahan dan kefahaman kepada pelajar mengenai bahaya scam serta kaedah untuk mengelak yang menampilkan dua penceramah yang cukup hebat iaitu ASP Wan Nur Shakirin Wan Mansur dan Mohammad Faizal Azid @ Aziz.
Slot pertama yang bertajuk Anatomi Scam Moden dan Trend Terkini yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu, ASP Wan Nur Shakirin, memberi fokus kepada isu yang semakin membimbangkan dalam masyarakat iaitu penipuan atau scam, khususnya yang melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa scam kini bukan lagi satu bentuk jenayah terpencil, sebaliknya telah menjadi satu sindiket terancang yang mensasarkan mangsa melalui pelbagai kaedah dan medium terutamanya media sosial, aplikasi pesanan serta panggilan telefon.
Bagi slot kedua pada malam itu yang bertajuk Dari Mangsa Menjadi Pejuang: Alumni Kongsi Pengalaman yang disampaikan oleh Mohammad Faizal Azid @ Aziz.
Beliau menceritakan tentang apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat dan apa yang penting cara untuk bangkit daripada cabaran yang kita lalui. Salah satu jenis scammer yang diceritakan dalam slot ini termasuklah Love Scam yang agak tragis kerana melibatkan wang tunai sebanyak RM1 juta. Beliau menasihati untuk berfikir secara rasional dan mengawal urusan kewangan serta emosi diri agar terhindar dari gejala scam.
Sementara itu, Pengarah program, Nur Adlin Auji Mohammed Zulkarnain berkata, program seperti Scam Buster ini sangat bertepatan pada masanya. Ia bukan sekadar memberi amaran tetapi membina benteng perlindungan dalam diri masyarakat agar lebih bijak menilai, lebih berani bertanya dan lebih peka terhadap taktik licik penjenayah siber.
Pengetua Inapan Siswa Tradewinds, Dr. Asma Mat juga memberi dorongan dalam menjalankan program ini.
Beliau berasa amat risau dengan peningkatan jenayah scam yang melibatkan ramai pelajar UUM.
Secara keseluruhannya, semua pihak termasuk pelajar, pendidik, dan ibu bapa perlu saling bekerjasama dalam membina kesedaran dan kepekaan terhadap isu scam ini.
Pelajar perlu sentiasa berfikir secara kritikal, tidak terburu-buru membuat keputusan kewangan, dan segera mendapatkan nasihat jika berdepan situasi yang mencurigakan.
Ceramah ini sangat bermanfaat dalam memberikan panduan yang jelas, praktikal dan relevan bagi memastikan pelajar tidak menjadi mangsa kepada penipuan yang semakin canggih dan licik pada zaman digital ini. – Azri Badrul Hisham