Sesi temubual SLCP dan pengamal industri perkasa cadangan program baharu
SINTOK: Unit Pengajian Islam dan Falsafah (UPIF), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi temu bual bersama tujuh pengamal industri bagi mendapatkan input berharga dalam usaha memperkasakan cadangan program baharu yang sedang dirancang.
Sesi temu bual yang berlangsung antara Ogos dan September lalu melibatkan pengamal industri daripada pelbagai sektor, antaranya Pengarah Eksekutif IB Media Consultant Works Sdn Bhd., Dato’ Izelan Basar; Pengarah Urusan Ernst & Young Malaysia, Dato’ Abdul Rauf Rashid; Pengarah Urusan Al Ridzuan Travel & Tours Sdn Bhd., Muhammad Ridzuan Shuhaimi; Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin; Pegawai Eksekutif Penyelidikan Syariah, Bank Rakyat, Muhammad Hafizullah Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Iman Media Group, Fatin Syaminny Liana Badaruddin dan Pengarah Urusan Khalifah Media Networks, Mohd Huzaifah Muntalip.
Sesi ini bertujuan mendapatkan pandangan mendalam daripada pengamal industri, khususnya dalam bidang industri kewangan Islam, industri percetakan berfokuskan nilai-nilai Islam, media dan kandungan digital Islam, pelancongan Islam, serta perancangan harta pusaka.
Input yang diberikan akan digunakan bagi memastikan cadangan program baharu selari dengan keperluan industri semasa seterusnya menjadikan graduan lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.
Penyelaras Program Baharu, Dr. Nor Hanani Ismail berkata, sesi temu bual ini bukan sahaja mengenal pasti kemahiran yang diperlukan industri, tetapi juga ilmu linguistik yang juga penting untuk graduan Syariah.
Menurutnya, semua institusi ini telah dan sedang menuju ke peringkat antarabangsa, justeru graduan Syariah perlu menguasai bukan hanya kemahiran, tetapi ilmu linguistik sebagai alat untuk menyelesaikan masalah.
“Penguasaan dalam Bahasa Inggeris pada tahap yang tinggi adalah penting untuk memastikan mereka berdaya saing di peringkat global.
“Semoga kerjasama ini menjadi langkah pertama ke arah kolaborasi strategik yang membawa manfaat kepada kedua-dua pihak, industri, dan pendidikan,” katanya.