Sinergi CIAC, JIM dan EMGS anjur Bengkel Visa dan Hari Bersama Pelanggan
Gambar Muhammad Iqbal Roslan
SINTOK, 21 April 2025: Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Bengkel Pemantapan Pengurusan Visa dan UUM International Student Recruitment Agent Workshop bersempena Hari Bersama Pelanggan CIAC pada 17 April lalu.
Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, program ini juga turut dihadiri oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Cyberjaya, Kedah dan Perlis serta Education Malaysia Global Service (EMGS) sebagai penceramah dalam menyampaikan taklimat kepada staf pentadbiran, pengurusan pusat pengajian serta pelajar antarabangsa berkaitan pengurusan visa.
Menurutnya, CIAC turut menjemput staf daripada pejabat antarabangsa di universiti sekitar wilayah utara untuk menyertai hari bersama pelanggan bagi berkongsi amalan terbaik mengurus pelajar antarabangsa.
Katanya, bengkel ini juga bertujuan untuk memperkukuh perkhidmatan penyampaian visa kepada pelajar antarbangsa dalam usaha menaik taraf perkhidmatan tersebut.
“Keperluan visa sangat penting dan merupakan perkara asas kepada pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian di Malaysia.
“Bengkel ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan jaringan strategik dengan ejen dalam usaha meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa selaras dengan dasar pengantarabangsaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.
Dr. Arpah berkata, ejen perlu memahami prosedur dan produk yang perlu diketengahkan dalam usaha mempromosikan UUM kepada pelajar antarabangsa dari seluruh dunia.
Program ini disusuli dengan jamuan hari raya CIAC bagi meraikan rakan strategik, dekan serta staf pusat pengajian dan pelajar antarabangsa yang dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof Ts. Dr. Osman Ghazali yang mewakili Naib Canselor. – Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz