SLCP bawa Bank Rakyat kongsi isu perbankan dan kewangan di Malaysia
Gambar Unit Pengajian Islam dan Falsafah, SLCP
SINTOK, 8 Julai 2025: Unit Pengajian Islam dan Falsafah (UPIF), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Bicara Bersama Bank Rakyat yang bertajuk Scammer, Akaun Tumpang dan Produk Bank, semalam.
Ceramah telah disampaikan oleh Khidzrul Nizam Mohd Khidir dari Unit Pembiayaan, Bank Rakyat Cawangan Kangar.
Khidzrul Nizam telah mengupas pelbagai isu perbankan dan kewangan yang berlaku di Malaysia.
Menurutnya, terdapat beberapa kes yang melibatkan warga pensyarah dan pelajar IPT. Oleh itu, telah menjadi tanggungjawab pihak Bank Rakyat untuk memberi kesedaran kepada warga UUM agar lebih cakna dan waspada dengan permasalahan yang berlaku.
Selain itu, beliau juga telah mendedahkan kelicikan aktiviti scammer yang sangat membimbangkan dan telah berkongsi tips tentang bagaimana untuk menangani scammer, isu akaun tumpang dan pelbagai isu yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan.
Lebih menarik lagi apabila penceramah telah mempekenalkan beberapa produk bank yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia seperti saham, pembiayaan, simpanan, emas, cabutan dan banyak lagi.
Pengarah Program, Dr. Wan Mohd Amjad Wan Halim berkata, melalui program ini diharap peserta dapat mengetahui tips atau kaedah sekiranya berhadapan dengan scammer, seterusnya dapat mengelak daripada terjebak dengan scammer, akaun tumpang dan sebagainya.
Di atas sambutan yang menggalakkan daripada peserta, penganjur berhasrat untuk mengadakan lagi program seperti ini di masa akan datang yang lebih berskala besar melibatkan seluruh warga staf dan pelajar UUM. – Dr. Rukhaiyah Abd Wahab