Campus

SQS perkukuh jaringan rakan MoU melalui program mobiliti pelajar antarabangsa

Gambar Zamalik Hassan

SINTOK, 17 April 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengalu-alukan kedatangan 16 daripada rakan MoU dalam majlis santai Empower Mobility Program 2025: Bridging Minds Across Borders yang berlangsung sehingga 24 April ini.

Rakan MoU ini terdiri daripada dua pensyarah dan 10 pelajar dari University of Santo Tomas (UST), Filipina, serta enam pelajar doktor falsafah (PhD) dari National Higher School of Statistics and Applied Economics (ENSSEA), Algeria.

Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengalu-alukan kehadiran peserta antarabangsa.

Menurutnya, setiap tahun SQS komited dalam memperkukuh jaringan akademik global dan memupuk kerjasama rentas budaya melalui inisiatif program mobiliti pelajar.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video korporat UUM dan SQS yang memperkenalkan latar belakang pusat pengajian, pencapaian akademik serta aktiviti antarabangsa yang telah dilaksanakan.

Tayangan ini memberi pencerahan kepada peserta antarabangsa mengenai ekosistem pembelajaran yang holistik di UUM, khususnya di SQS.

Wakil dari UST dan ENSSEA turut menyampaikan ucapan penghargaan serta harapan mereka terhadap pengalaman sepanjang berada di UUM.

Mereka menyatakan rasa teruja untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti perkongsian ilmu akademik bersama warga SQS dan komuniti sekitar, sambil membina jaringan persahabatan serta pertukaran ilmu budaya.

Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama akademik yang lebih erat dan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar SQS merasai pengalaman rentas budaya di arena antarabangsa. – Nabilah Suhaimi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button