STML InnoVibe 2025 serlahkan kreativiti dan daya inovasi pelajar
Gambar STML
SINTOK, 24 Jun 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajarnya melalui penganjuran program STML InnoVibe 2025, sebuah inisiatif yang menjadi sebahagian daripada acara tahunan Green Carnival STML.
Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh berkata, dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UUM, program ini menyediakan platform kepada pelajar untuk membentangkan hasil idea dan rekaan inovatif yang dibangunkan sepanjang semester menerusi dua kursus iaitu Pengurusan Inovasi dan Pengkomersilan serta Rekabentuk Inovasi dan Pembangunan Produk.
Pembentangan dibuat dalam bentuk pameran terbuka yang menyaksikan sebanyak 17 kumpulan melibatkan 119 pelajar Ijazah Sarjana Muda STML menyertai pertandingan inovasi ini.
Penjurian pertandingan ini dijalankan secara profesional oleh panel jemputan yang terdiri daripada enam orang juri, iaitu dua pensyarah STML, dua Felo Inovasi dari ICC, dan dua pensyarah dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC). Kepelbagaian latar belakang juri memberi nilai tambah dalam menilai produk dari aspek inovasi, kebolehlaksanaan, dan potensi pengkomersilan.
STML InnoVibe bukan sahaja menjadi platform mempamerkan keupayaan pelajar dalam menghasilkan prototaip dan konsep produk baharu dengan menampilkan idea-idea kreatif dan inovatif, malah turut mengasah kemahiran komunikasi, kerja berpasukan serta daya cipta yang penting dalam dunia profesional masa kini sejajar dengan pendidikan holistik universiti.
Program ini juga menyumbang kepada pengisian akademik dan nilai tambah kepada Green Carnival STML, yang turut mempromosikan kelestarian dan semangat inovatif dalam kalangan warga universiti.
Bagi menyokong penganjuran program ini, ICC UUM telah menaja hadiah kemenangan pertandingan sebagai dorongan kepada semangat inovasi dan pengkomersilan dalam kalangan pelajar universiti iaitu tempat pertama menerima RM200, tempat kedua RM150 dan tempat ketiga RM100.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar.
Dengan adanya sokongan berterusan dari pelbagai pihak termasuk ICC, STML InnoVibe diharapkan dapat terus menjadi platform tahunan yang memupuk budaya inovasi dan pengkomersilan dalam kalangan pelajar UUM. – Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi