Campus

Timbalan Naib Canselor (A&A) suntik semangat perkasa perjuangan warga IBS

Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir

SINTOK, 4 Jun 2025: Dalam usaha memperkukuhkan hubungan melalui komunikasi dua hala antara Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dengan pusat-pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), satu lawatan kerja telah diadakan ke Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, semalam.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri jerayawara beliau ke semua pusat pengajian di UUM yang bertujuan mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan pencapaian, perancangan strategik serta isu dan cabaran yang dihadapi oleh setiap pusat pengajian.

Sesi dimulakan dengan pembentangan latar belakang IBS oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor, termasuk maklumat struktur organisasi dan kapasiti staf.

Tumpuan turut diberikan kepada prestasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dicapai oleh IBS serta isu dan cabaran yang dihadapi IBS.

Dalam sesi dialog bersama penjawat dan warga IBS, sebanyak lapan isu utama telah dikemukakan, antaranya berkaitan isu kenaikan pangkat, pengesahan jawatan akademik, kekurangan tokoh akademik berpengaruh serta isu proses renovasi yang melibatkan semua warga IBS.

Selain itu, cabaran pelaksanaan dan proses mendapatkan akreditasi penuh (FA) MQA bagi Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) yang berbentuk 3U1i juga dikongsikan kepada TNC(A&A).

Cabaran yang tidak kurang hebatnya bagi IBS adalah kesukaran mendapat pelajar antarabangsa dan juga pelajar pascasiswazah serta pelajar mobiliti (outbound). IBS juga berkongsi hasrat berkaitan projek mengusahakan bangunan IBS menggunakan kaedah wakaf iaitu Projek Wakaf IBEEC (Islamic Business Education Excellence Center) yang masih dalam proses kelulusan dan memerlukan sokongan menyeluruh dari pihak universiti.

Dr. Mohd Azizuddin menzahirkan penghargaan kepada IBS atas ketelusan dan komitmen dalam menyampaikan realiti isu dan cabaran semasa.

“IBS mempunyai potensi yang besar untuk memacu agenda universiti terutama dalam penyelidikan dan sumbangan komuniti melalui dana yang besar dari rakan industri.

“Kejayaan IBS meraih endowmen RM15 juta daripada FWD Takaful ini adalah kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh pihak industri kepada IBS sesuatu yang membanggakan dan wajar dicontohi,” katanya.

Beliau menyarankan agar IBS merangka pelan tindakan strategik untuk menangani isu-isu berbangkit dengan pendekatan kolaboratif melibatkan pelbagai pihak termasuk industri, alumni dan agensi berkaitan.

Di samping itu, beliau juga berkongsi pengalamannya menjalani ‘attachment’ di beberapa universiti luar negara termasuklah di Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang pastinya menjadi inspirasi kepada semua warga IBS yang hadir dalam program ini.

Dr. Azizuddin berharap seluruh warga IBS akan terus melangkah ke hadapan sebagai pusat pengajian unggul dalam bidang perniagaan Islam yang berimpak tinggi sejajar dengan aspirasi universiti dan negara.

Sesi Jerayawara TNC (A&A) diakhiri dengan kejutan sambutan hari lahir Prof. Dr. Azizuddin yang jatuh pada tarikh 3 Jun ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke IBS.

Turut serta, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azian Nafiah serta pegawai khas beliau.- Siti Rasyidah Hassan

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button