TNC (A&A) tekankan kepentingan akreditasi dan jalinan industri
Gambar Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC)
SINTOK, 29 Mei 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia telah menerima lawatan kerja daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, bagi sesi libat urus bersama pihak pengurusan serta warga SOC.
Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik (JHEA), Azian Nafiah, dan Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar.
Lawatan ini bertujuan memperkukuh komunikasi dua hala antara pihak pengurusan universiti dan pusat pengajian, serta menyampaikan amanat berkaitan aspirasi dan hala tuju akademik universiti.
Sesi libat urus ini turut melibatkan 10 wakil pelajar SOC, yang mewakili suara dan pandangan pelajar berkaitan penambahbaikan pengalaman pembelajaran serta keterlibatan industri.
Sementara itu, Dr. Mohd. Azizuddin berkata, setiap pusat pengajian disarankan mendapatkan pensijilan AUN-QA (ASEAN University Network – Quality Assurance) sebagai usaha mempertingkatkan pengiktirafan dan kualiti akademik di peringkat serantau.
“Hubungan dengan pihak industri tidak seharusnya terhad kepada penempatan pelajar bagi latihan industri semata-mata.
“Sebaliknya, pusat pengajian digalakkan untuk mempergiatkan aktiviti kolaboratif berimpak tinggi bersama rakan industri, termasuk penganjuran program bersama, penyelidikan terapan, dan perkongsian kepakaran,” katanya.
Sesi ini turut membuka ruang dialog dua hala yang membolehkan pihak pengurusan SOC membentangkan pelan strategik, berkongsi cabaran semasa serta inisiatif penambahbaikan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.
Wakil pelajar juga diberi peluang menyuarakan pandangan dan cadangan membina berkaitan kebajikan, pembangunan sahsiah serta peluang keterlibatan luar bilik kuliah
Pihak SOC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Dr. Mohd. Azizuddin hadir ke lapangan, dan berharap agar jalinan kerjasama strategik ini akan terus menyumbang ke arah kecemerlangan institusi secara berterusan. – Noor Aina Norrdin