U-Assist terus menyerlah sebagai nadi perkhidmatan pelajar di UUM
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 4 Julai 2025: U-Assist sebagai One Stop Centre bagi perkhidmatan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan peranannya apabila diperakui sebagai model perkhidmatan pelajar yang unggul di universiti ini daripada Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menerusi sesi jerayawara, baru-baru ini.
Ucapan penuh penghargaan beliau iaitu “The Best U-Assist in the World” bukan sekadar pujian tetapi cerminan keyakinan dan kepercayaan pihak pengurusan tertinggi Universiti terhadap keupayaan U-Assist sebagai pemudahcara utama urusan pelajar di kampus.
Pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat buat seluruh warga kerja U-Assist untuk terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan budaya kerja cemerlang, berinovasi dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan pelajar.
Sepanjang di U-Assist, Prof. Dr. Mohd Foad diberi taklimat komprehensif oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman berkaitan skop perkhidmatan merangkumi hal ehwal akademik, penajaan dan kewangan pelajar, khidmat kaunseling, pengurusan perkhidmatan korporat, pengurusan visa dan pelajar antarabangsa serta fasiliti pintar kampus.
Suraya berkata, lawatan ini bertujuan untuk melihat dan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan pihak U‑Asisst UUM senantiasa dalam keadaan yang terbaik.
Sementara itu, Dr. Mohd. Foad berkata, U-Assist bukan sekadar jabatan, ia adalah nadi sokongan pelajar yang memastikan perjalanan akademik dan kehidupan kampus mereka sentiasa lancar dan terjaga.
Menurutnya, peranan signifikan U-Assist inilah yang menyumbang kepada reputasi cemerlang UUM di peringkat global khususnya dalam penyampaian perkhidmatan yang efisien, mesra dan berdasarkan keperluan pelajar.
“U-Assist merupakan cerminan komitmen berterusan Universiti dalam menawarkan pengalaman perkhidmatan yang holistik dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi UUM sebagai Univerrsiti Pengurusan Terkemuka.
“Pihak universiti amat berterima kasih kepada staf U-Assist yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar UUM,” katanya.
Jerayawara ini turut mengimbau kenangan peribadi buat Naib Canselor yang pernah berkhidmat di bangunan yang kini menempatkan U-Assist semasa beliau menjawat jawatan Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM dari 1 Ogos 2001 hingga 20 September 2002.
Semenjak dilantik sebagai Naib Canselor bermula 2 April 2023 yang lalu, ini adalah kunjungan pertama beliau ke U-Assist yang turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi; Pengarah, Jabatan Komunikasi Korporat, Bakhari Che Mohamed Ariff dan ketua-ketua unit di U-Assist. – Rose Fazlinda Yanti Abd Rashid dan Zulaidah Mat Said