Campus

UUM kekalkan status Swaakreditasi, raih dua Anugerah Emerald Publishing

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 16 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi yang berdaya saing apabila berjaya mengekalkan Status Swaakreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengiktirafan ini diberikan susulan kejayaan UUM melepasi Audit Pertimbangan Pematuhan Status Swaakreditasi oleh MQA yang telah dilaksanakan pada 24 hingga 25 Februari 2025.

UUM pertama kali dianugerahkan status Swaakreditasi pada 21 Februari 2017 dan berjaya mengekalkannya sehingga kini.

Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Pusat Swaakreditasi UUM, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, sebagai menandakan keupayaan universiti dalam memenuhi kriteria dan piawaian agensi akreditasi kebangsaan bagi mengakreditasi program akademik secara kendiri.

Dalam majlis sama, UUM turut menerima dua anugerah berprestij daripada Emerald Publishing atas pencapaian cemerlang dalam penerbitan dan penggunaan bahan ilmiah sepanjang tahun 2024.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Prof. Dr. Che Azlan Taib kepada Dr. Mohd Foad yang melibatkan dua kategori utama.

UUM telah meraih tempat ketiga bagi High Research Output Award 2025, hasil daripada 75 penerbitan jurnal dan buku yang dihasilkan oleh 84 orang pengarang dari universiti ini.

Selain itu, UUM turut menerima tempat ketiga bagi High Usage Award 2025 dalam kategori Institusi Awam Malaysia, setelah mencatat sebanyak 127,128 muat turun artikel sepanjang tahun 2024.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan antarabangsa terhadap komitmen UUM dalam memperkukuh budaya penyelidikan serta penggunaan sumber ilmu secara meluas dalam kalangan warganya.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Penasihat Undang-undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed dan Pengarah Canselori, Mohd Zulkifli Mohd Noor. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button