Campus

UUM terima lawatan Libat Urus Audit Pematuhan SAGA USM

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 5 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan rasmi daripada Jabatan Bendahari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam sesi Libat Urus Persediaan Penilaian Pematuhan Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, semalam.

Sesi ini bertujuan untuk bertukar pandangan dan mendapatkan khidmat nasihat daripada UUM bagi membantu Jabatan Bendahari USM dalam usaha memperoleh pensijilan pematuhan SAGA daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Ketua Akauntan Kanan, Jabatan Bendahari UUM, Mohd Zamri Mohd Zain, dalam ucapan aluannya menyatakan kesediaan pihak UUM untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran susulan kejayaan memperoleh pensijilan SAGA menerusi sistem kewangan FIMS pada Oktober tahun lalu.

Sesi perkongsian dimulakan oleh Ketua Unit Akaun, Jabatan Bendahari UUM, Siti Farhana Shabudin, yang mengetengahkan pengalaman serta strategi gerak kerja UUM dalam memenuhi keperluan pensijilan.

Antara yang dikongsikan ialah pendekatan sistematik dalam penyediaan dokumen, kesediaan sistem kewangan serta kerjasama rentas jabatan yang berkesan dalam memastikan pematuhan menyeluruh terhadap piawaian SAGA.

Ketua Seksyen Pengurusan Financial Information System (FIS) USM, Muhammad Imran Ibrahim, turut berkongsi sejarah dan peranan unit beliau dalam misi mendapatkan pensijilan SAGA buat kali kedua, khususnya bagi sistem kewangan baharu yang sedang dibangunkan oleh USM.

Beliau menyatakan harapan agar sesi ini dapat memberi input berguna dan menjadi asas persediaan kukuh menjelang penilaian yang dijadualkan berlangsung tahun ini.

Bengkel diteruskan dengan sesi soal jawab berkaitan pelan pensijilan sebelum memasuki perbincangan mendalam yang memfokuskan kepada 12 aspek fungsian dan lapan aspek teknikal bagi kriteria pematuhan SAGA.

Sesi ini diharap bukan sahaja memberi manfaat dari sudut teknikal dan strategik, malah turut memperkukuh kerjasama antara UUM dan USM dalam mempertingkat tadbir urus kewangan yang lebih cekap, telus dan berintegriti.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Pengurus E-Management merangkap Pegawai Menjalankan Tugas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Hani Zukifli Abai, bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Bendahari UUM, UUMIT, JHEPPI dan delegasi Jabatan Bendahari USM. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button