Campus

UUM terima zakat RM85,000 sempena Majlis Penyampaian Bingkisan Aidilfitri

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 16 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini menerima sumbangan zakat bernilai RM85,000 daripada MBSB Bank Berhad bagi membantu pelajar asnaf yang mengikuti pengajian di universiti ini.

Selain membantu meringankan beban kewangan pelajar, sumbangan zakat itu juga satu simbolik hubungan dan kerjasama yang baik melibatkan universiti dan pihak industri seperti MBSB Bank Berhad.

Penyampaian sumbangan zakat disempurnakan Pengurus Deposit Kawasan Utara MBSB, Zaidi Saad kepada Pengarah Jabatan Canselori yang Menjalankan Fungsi Pendaftar UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, yang diadakan serentak dengan Majlis Penyampaian Bingkisan Aidilfitri 1447H.

Majlis berlangsung di Dewan Seminar Pusat Islam anjuran Jawatankuasa Kebajikan Kakitangan (JKK) UUM itu bermatlamat menghargai kakitangan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri pertama tahun ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam ucapan yang dibacakan Muhammad Iskandar Zulkarnain berkata, pengorbanan dan komitmen kakitangan UUM ini sangat dihargai dalam memastikan operasi universiti berjalan lancar.

“Majlis Penyampaian Bingkisan Aidilfitri 1447H ini merupakan simbol penghargaan kepada mereka yang memastikan aspek keselamatan, penyelenggaraan, kesihatan, pengurusan fasiliti dan perkhidmatan sokongan terus beroperasi walaupun pada hari cuti perayaan.

“Bingkisan Aidilfitri menjadi lambang penghargaan pihak universiti di atas jasa dan dedikasi semua kakitangan terlibat. Diharapkan agar semangat kebersamaan dan sokongan sesama kakitangan UUM ini terus diperkukuhkan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima Bingkisan Aidilfitri 1447H yang berkhidmat di Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU), Mohd Alif Roslan berkata, penghargaan pihak universiti ini, menyuntikkan lagi semangatnya untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kepentingan warga UUM dan institusi.

Menurut kakitangan EDC-UUM, Atiqah Izzati Abd Aziz dan staf Jabatan Keselamatan, Wan Norliana Wan Hamid yang bertugas pada hari pertama Aidilfitri tahun ini turut mengucapkan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan. – Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Pelatih dari Politeknik METrO Tasek Gelugor)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button