Campus

UUMKL terima 120 pelajar baharu

Gambar Muhammad Rashid Khair

SINTOK, 7 Januari 2025: UUM Kampus Kuala Lumpur menerima kemasukan seramai 120 pelajar baharu bagi semester Januari (DC242) yang akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

Sesi taklimat pendaftaran telah diadakan pada 5 Januari lalu melibatkan semua pelajar tersebut termasuk pelajar antarabangsa daripada Vietnam, Jepun, Indonesia, China dan Bangladesh.

Pelajar dari Jepun, Eruna Kaji berkata, dia amat gembira kerana diterima masuk ke Program Sarjana Sains (Kewangan) secara sepenuh masa dan ini merupakan pengalaman pertamanya di Malaysia.

Eruna turut merakamkan penghargaan atas bantuan pihak universiti dalam menguruskan visa pelajar tanpa sebarang masalah.

Antara program lain yang ditawarkan adalah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia, Sarjana Sains (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, Sarjana Sains (Teknologi Maklumat), Sarjana Pengurusan Awam, Sarjana Undang-undang, Sarjana Sains (Perniagaan Antarabangsa), Sarjana Sains Kaunseling dan Sarjana Sains (Analisis Data).

Sementara itu Ketua Kampus UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan berkata, UUMKL sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan dan akan sentiasa bersedia memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar.

Menurutnya, universiti ini juga melihat kepentingan untuk mengadakan sesi pertemuan dan penerangan bersama pelajar sebelum bermula semester bagi memastikan setiap pelajar bersedia dan tidak menghadapi sebarang masalah dalam pengajian.

Beliau juga berkesempatan berkongsi beberapa tips positif yang dapat meningkatkan motivasi para pelajar untuk memulakan pengajian.

Pelajar baharu juga berpeluang mendengar sesi motivasi khas bertajuk ‘The Persuit of Knowledge’ daripada Dekan Akademik UUMKL, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Mazlan.

Sesi ini dilihat menaikkan semangat pelajar untuk memulakan pengajian disamping tugasan utama ditempat kerja dan pembahagian masa dengan keluarga.

Turut diadakan sesi taklimat akademik dan kewangan, selain pelajar didedahkan dengan tatacara mengakses portal pelajar, prosedur pendaftaran kursus dan penggunaan khidmat perpustakaan. – Nur Afiqah Abu Bakar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button