Webinar Bakat Halal nadi pengukuhan ekosistem halal negara
Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi
SINTOK, 16 Jun 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Halal telah menganjurkan Webinar Bakat Halal yang berlangsung secara dalam talian pada 10 Jun lalu.
Pengarah IHM, Dr. Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, webinar ini dianjurkan bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada para peserta terutamanya pelajar dari kursus pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) tentang peluang kerjaya serta pembangunan bakat halal dalam industri halal yang semakin berkembang di peringkat global.
Penceramah jemputan bagi siri webinar kali ini merupakan seorang pakar industri halal iaitu Pengurus Bahagian Pembangunan Industri, Halal Development Corporation Berhad (HDC), Mohd. Rohazwan Zakaria, yang juga merupakan Felo Industri di IHM.
Antara topik yang beliau telah kongsikan termasuklah pengalamannya, peluang latihan profesional, pensijilan halal, cabaran industri serta pembangunan kompetensi tenaga kerja halal yang seiring dengan keperluan di dalam industri halal.
Program ini berjaya menarik penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar, graduan, dan warga UUM yang berminat untuk menceburi bidang halal.
Perkongsian daripada Rohazwan bukan sahaja membuka perspektif baharu tentang potensi bakat halal, malah memberi kesedaran tentang kepentingan kompetensi halal dalam menjamin integriti, keselamatan dan kebolehpasaran produk serta perkhidmatan halal di peringkat global.
Pihak IHM berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pembangunan bakat dan penyebaran maklumat kepada masyarakat tentang potensi kerjaya dalam industri halal.