Zon Akasia dan Bougainvillea raih Anugerah Zon Terbaik EKSA 2024
Gambar Jabatan Komunikasi Korporat
SINTOK, 20 Februari 2025: Zon Akasia dan Zon Bougainvillea berjaya merangkul Anugerah Zon Terbaik Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2024 pada Sambutan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-41, baru-baru ini.
Berdasarkan hasil dapatan audit yang dijalankan, Zon Akasia berjaya memperoleh markah tertinggi sebanyak 86 peratus, diikuti oleh Zon Bougainvillea dengan 84 peratus, sekali gus melayakkan kedua-dua zon menerima pengiktirafan Zon Terbaik EKSA UUM.
Zon Akasia dan Zon Bougainvillea diketuai oleh Encik Mohd Yusnaidi bin Md Sabri dan Prof. Madya Dr. Lily Julienti binti Abu Bakar, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan EKSA di zon masing-masing.
Antara Pusat Tanggungjawab (PTJ)/Pusat Pengajian (PP)/Inasis di bawah Zon Akasia adalah Pusat Islam, Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), EDC UUM, Inasis Bank Rakyat, Inasis SME Bank, Masjid Imam Syafie dan Masjid Sultan Badlishah. Manakala PTJ/PP/Inasis di bawah Zon Bougainvillea adalah Pusat Alumni, Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Bangunan Pusat Konvensyen, Inasis MAS, Inasis TNB, Inasis Proton dan Inasis Tradewinds.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan disaksikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Zon Akasia dan Zon Bougainvillea akan terus mengekalkan amalan EKSA agar menjadi budaya kerja yang mampan dan inovatif di UUM, selaras dengan usaha universiti dalam memastikan persekitaran kerja yang lebih sistematik, kondusif, dan produktif.
Hasil kejayaan ini, Zon Akasia dan Zon Bougainvillea diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada zon-zon lain dalam usaha meningkatkan kualiti persekitaran kerja serta memastikan keberkesanan pelaksanaan EKSA di UUM secara berterusan.
Selain itu, kejayaan ini juga diharapkan dapat membantu UUM dalam usaha memperoleh pensijilan EKSA bagi tahun 2025, sekaligus mengukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi yang mengamalkan budaya kerja berkualiti dan sistematik. – Wan Yusnita Megat Saad