Kem Kecemerlangan dan Celik Kewangan Islam bangkit semangat pelajar SPM
BALING: Program IBS-STF Masuk Kampung sekali lagi membawa Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Social Takaful Fund (STF) ke Baling bagi program “Kem Motivasi Kecemerlangan SPM & Celik Kewangan Islam” yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Ogos lalu.
Pengarah program, Dr. Nor Syahidah Ishak berkata, objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah menengah mengenai literasi kewangan Islam serta motivasi bagi mencapai kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antara aktiviti yang diadakan ialah sesi motivasi yang memacu semangat, empat sesi teknik menjawab SPM yang komprehensif, serta sesi celik kewangan Islam yang direka khas untuk memperkayakan pemahaman pelajar tentang konsep kewangan Islam yang penting dalam kehidupan seharian mereka.
Pelajar SMK Bakai, Arfa Syahira Azman berkata, sesi motivasi sangat membantunya untuk kekal fokus dan bermotivasi menjelang peperiksaan SPM.
Menurutnya, penceramah yang dijemput sangat menginspirasi, dan beliau sekarang lebih yakin untuk mencapai keputusan cemerlang.
“Program ini benar-benar membuka minda saya. Saya belajar banyak tentang teknik menjawab soalan SPM dan juga tentang kewangan Islam.
“Sebelum ini, saya tidak begitu faham tentang kewangan Islam tetapi sekarang saya rasa lebih yakin untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan,” katanya.
Selain itu, pelajar juga diberi ruang untuk berehat selepas sesi yang padat dengan menyertai aktiviti lawatan pembelajaran ke beberapa tempat menarik seperti Pusat Sains Negara Wilayah Utara, Masjid Zahir dan Menara Alor Setar di mana ia juga membuka minda mereka kepada dunia luar yang penuh dengan peluang dan ilmu baru.
Sementara itu, Timbalan Sektor Pembelajaran PPD Daerah Baling, Mohd Nazri Chin berkata, program ini merupakan langkah positif dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bijak mengurus kewangan.
Menurutnya, dengan sokongan semua pihak, program ini menunjukkan bahawa motivasi, teknik akademik, dan pengetahuan praktikal adalah kunci kejayaan pelajar, menjadikan satu pengalaman yang berharga dan memberi manfaat jangka panjang.
“Kejayaan program ini diharapkan dapat menjadi platform untuk lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan potensi pelajar serta memperkukuh pengetahuan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.
Seramai 70 pelajar dan enam guru pengiring dari SMK Bakai dan SMK Siong telah menyertai kem ini bersama 10 pensyarah, staf STF dan enam sukarelawan STF UUM. – Siti Rasyidah Hassan