Perkasa pemimpin komuniti daerah Baling tangani isu pelajar cicir
Baling: Townhall Pemerkasaan Pemimpin Komuniti Dalam Menangani Isu Pelajar Cicir Daerah Baling yang dianjurkan oleh penyelidik dari Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Pejabat Daerah Baling adalah satu inisiatif yang penting dalam memperkukuhkan kepimpinan komuniti.
Ketua Program KOMPaS, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, tujuan utama townhall diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan memperkasakan pemimpin komuniti dalam menangani isu pelajar tercicir, jadi acara ini berfungsi sebagai platfom interaktif untuk para pemimpin komuniti.
Beliau memulakan sesi pembentangan dengan topik bertajuk ‘Menyelami Isu Keciciran Murid dalam Pembangunan Insan’. Dalam pembentangannya, Dr. Rosna mengupas dengan mendalam isu-isu yang menyumbang kepada keciciran murid, serta impaknya terhadap pembangunan insan di negeri Kedah.
Sesi kedua disampaikan oleh Dr. Mohd Fairuz Jafar bertajuk ‘Keperluan Pemerkasaan Penglibatan Komuniti Dalam Usaha Menangani Murid Berisiko Tercicir’ yang menekankan pentingnya penglibatan komuniti dalam menangani isu keciciran pelajar. Pembentangan ini memperlihatkan hasil dapatan kajian yang menekankan keperluan untuk memperkasakan komuniti dalam memainkan peranan yang lebih proaktif dan berkesan dalam menyokong pelajar-pelajar yang berisiko tercicir.
Penglibatan aktif komuniti bukan sahaja dapat membantu mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar, tetapi juga dapat membina jaringan sokongan yang kuat untuk memastikan pelajar mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Sesi ketiga dalam townhall ini merupakan dialog interaktif antara penyelidik KOMPaS dan pemimpin komuniti yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin di mana ia mewujudkan platfom kepada pemimpin komuniti dapat berkongsi pengalaman praktikal mereka dan mendapatkan pandangan daripada penyelidik KOMPaS.
Ini adalah langkah signifikan ke arah penglibatan komuniti dalam usaha menangani isu pendidikan yang memerlukan kolaborasi strategik pelbagai pihak. Antara cadangan yang diutarakan oleh peserta termasuklah untuk pejabat daerah lebih proaktif dalam gabungan kerjasama antara komuniti dan pihak sekolah, pengenalan semula penaksiran beperingkat di sekolah seperti UPSR dan PT3 untuk tapisan kemenjadian murid dan perkongsian aliran bukan akademik seperti TVET kepada pelajar berkaitan aliran ini dalam usaha menurunkan kadar keciciran di daerah ini.
Townhall ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya dan dihadiri oleh 78 peserta yang terdiri daripada ketua kampung, imam, pegawai perhubungan sekolah, pengetua, wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan guru sekolah.
Penglibatan aktif peserta dalam sesi ini mencerminkan komitmen mereka untuk menangani isu keciciran pelajar dengan lebih serius. Input daripada para pemimpin komuniti, digabungkan dengan pengetahuan dan dapatan kajian daripada penyelidik, diharapkan dapat menghasilkan strategi intervensi yang lebih efektif dan relevan dengan konteks tempatan. Sesi ini menutup program townhall dengan memberikan peserta satu pemahaman yang lebih mendalam dan praktikal mengenai peranan mereka dalam memastikan kehadiran pelajar ke sekolah terus meningkat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan di daerah Baling. – Amera Hanna Mohd Tajuddin