UUM ‘Merdeka Bersama, Sinergi Sekolah-Universiti’ dengan SK Tunku Bendahara
KODIANG: Sempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia yang ke-67, Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Sukan UUM telah mengadakan Program University Social Responsibility (USR) di Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara, Kodiang.
Tema program “Merdeka Bersama, Sinergi Sekolah-Universiti” dipilih untuk mencerminkan semangat kebersamaan dan kerjasama erat antara universiti dan sekolah dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan.
Pengarah UTLC, Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee berkata, program ini bertujuan untuk menyemai semangat kemerdekaan dalam kalangan murid dan warga sekolah, di samping memperkukuhkan hubungan antara sekolah dan universiti.
Menurutnya, seramai 17 staf UTLC dan enam staf dari Pusat Sukan UUM telah mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan bersama murid sekolah ini.
Aktiviti zumba yang dijalankan pada awal pagi berjaya mencipta suasana ceria dan penuh semangat, diikuti dengan aktiviti menanam pokok yang melambangkan usaha pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar serta bercerita kisah kemerdekaan, pop kuiz, serta aktiviti mewarna bersama anak-anak pra-sekolah.
Aktiviti mengecat laluan dan kelas pra-sekolah pula dilihat sebagai usaha untuk memperbaiki dan menceriakan persekitaran sekolah, yang pastinya memberikan kesan positif kepada suasana pembelajaran murid-murid cilik dan aktif.
Selain itu, kisah kemerdekaan yang disampaikan oleh staf UTLC memberi inspirasi kepada anak-anak pra-sekolah mengenai perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para pejuang tanah air.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak yang terlibat yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan fizikal sekolah tetapi juga kepada pembangunan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan warga sekolah.
Guru Besar SK Tunku Bendahara, Ku Ahmisuhaimi Ku Ahmad berkata, program ini berjaya memperlihatkan sinergi yang kukuh antara sekolah dan universiti di mana kerjasama seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.
Semoga usaha murni ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak kerjasama serupa pada masa akan datang, demi kebaikan masyarakat dan negara. – Fadhlina Md Pudzi