UUM dan PETRONAS teruskan usaha jalinan kerjasama dua hala
SINTOK: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif mengadakan lawatan kerja ke PETRONAS, baru-baru ini.
Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, lawatan ini bertujuan untuk memperbaharui hubungan strategik yang telah terjalin serta meneroka peluang-peluang kerjasama baru yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
UUM telah menjalin hubungan strategik dengan PETRONAS melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 2 Mei 2021.
Perjanjian tiga tahun ini yang tamat pada 1 Mei lalu telah menjadi platform untuk pelbagai aktiviti kolaborasi yang membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak. Antara manfaat tersebut termasuklah kolaborasi penyelidikan, geran industri dan padanan, latihan industri untuk pelajar, serta program pembangunan pelajar seperti School of Hard Knocks (SoHK).
Perbincangan tersebut melibatkan wakil-wakil utama dari kedua-dua pihak. UUM turut diwakili oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin, serta Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDGEC), Dr. Fikriyah Abdullah, manakal PETRONAS diwakili oleh Pengurus Besar Kanan, Rakan Kongsi Sumber Manusia Global, Pelaksanaan Projek & Teknologi PETRONAS, Maria Teo.
Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) merupakan syarikat minyak dan gas multinasional terkemuka di Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.
Ditubuhkan pada 17 Ogos 1974 dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia, PETRONAS diberikan mandat eksklusif untuk mengurus dan memanfaatkan sumber-sumber minyak dan gas di Malaysia serta bertanggungjawab untuk meningkatkan nilai sumber-sumber tersebut bagi kepentingan negara.– Siti Nazirah Jaya