Education

Kunjung balas PETRONAS ke UUM perkukuh kerjasama

Sintok – Kunjungan balas daripada delegasi PETRONAS ke Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS dalam membangunkan modal insan berkualiti melalui kerjasama erat dengan institusi pendidikan tinggi.

Kunjungan itu diketuai A. Rani Ahmad, Pengurus Besar, Kewangan, Pelaksanaan Projek & Teknologi PETRONAS bersama Maria Teo, Pengurus Besar Kanan, Rakan Kongsi Sumber Manusia Global, Pelaksanaan Projek & Teknologi, Ahmad Azimi Mat Taridi, Pengurus Besar, Unit Transformasi, dan Nor Izwan Ngademim, Pengurus, Rakan Kongsi Sumber Manusia Global, Pelaksanaan Projek & Teknologi PETRONAS.

Delegasi disambut mesra oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Foad Sakdan serta wakil dari Pusat Kerjasama Universiti-Industri yang diketuai oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.

Prof. Dr. Chandrakantan berkata, fokus utama pertemuan tersebut tertumpu kepada taklimat berkaitan kerjasama program yang bakal dianjurkan oleh PETRONAS, BeDigital Bootcamp, yang bakal melibatkan pelajar tahun akhir UUM di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Program kohort ke-10 ini melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sebelah utara.

BeDigital Bootcamp turut menawarkan peluang latihan industri dan kerjaya kepada para peserta, bermatlamat untuk memperkasakan kemahiran digital dalam kalangan graduan,” ujarnya.

Perbincangan turut menyentuh mengenai pembaharuan semula Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan PETRONAS, yang dijangka akan memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Dalam pada itu, delegasi turut dibawa melawat sekitar UUM, termasuk padang golf universiti dan INASIS PETRONAS, yang merupakan penginapan pelajar yang dibina hasil sumbangan daripada PETRONAS.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button