Prof. Norazah lengkapkan staf KWSP dengan pengetahuan
BANGI: Bagi meningkatkan kemahiran staf Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Profesor Pemasaran dan E-Dagang, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Othman Yeop Abdullah (OYAGSB), Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki telah mengadakan sesi latihan Effective Strategic Marketing for EPF di Pusat Pembelajaran KWSP, baru-baru ini.
Inisiatif ini adalah salah satu bentuk kerjasama antara KWSP dan OYAGSB melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia.
Dr. Norazah merupakan pakar dalam strategi pemasaran dan tingkah laku pengguna telah mengetuai sesi latihan intensif ini dan berkongsi kepakaran beliau dalam membangunkan strategi berorientasikan pasaran yang disesuaikan untuk pasaran formal dan tidak formal KWSP.
Menurutnya, latihan ini bertujuan untuk melengkapkan kakitangan KWSP dengan pengetahuan dan strategi pemasaran terkini dalam usaha memenuhi kehendak dan keperluan ahli mereka dengan lebih baik dan mengukuhkan kedudukan pasaran KWSP.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Pengurusan Produk & Pemasaran, KWSP Malaysia, Khadijah Yusof berkata, latihan yang diberikan sangat berguna kepada semua staf terlibat.
“Kami merasa beruntung kerana Prof. Ts. Dr. Norazah dapat mengendalikan latihan ini untuk pasukan kami.
“Pandangan dan pendekatan praktikal beliau telah memberikan input yang bernilai untuk meningkatkan strategi pemasaran dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan kepada semua segmen keahlian kami,” katanya.
Sesi latihan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan KWSP untuk pembangunan staf dan penyesuaian kepada keperluan ahlinya yang sentiasa berkembang di pasaran formal dan tidak formal.
Peserta memuji latihan ini kerana sifatnya yang interaktif serta pengetahuan luas yang disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Norazah. – Siti Nazirah Jaya