Latihan kebakaran hindar risiko bahaya api
SINTOK: Pusat Islam telah mengadakan Latihan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan (Fire Drill) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan UUM.
Latihan ini dilaksanakan dengan tujuan memberi latihan kepada 25 staf Pusat Islam, 8 AJK Zon 1 EKSA UUM dan 146 pelajar Sekolah Pendidikan Islam UUM dalam mematuhi arahan semasa menghadapi sebarang kes kecemasan.
Pengarah Pusat Islam juga selaku Ketua Zon 1 EKSA, Prof Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, apabila berlakunya suatu kebakaran ianya akan melibatkan kemusnahan dan kerugian harta benda malahan yang lebih buruk menyebabkan kehilangan nyawa.
Oleh itu, menurutnya, masyarakat seharusnya dididik supaya mampu menghadapi dan menangani bencana ini.
Program dimulakan dengan loceng penggera dibunyikan oleh pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JJPI) di mana semua staf Pusat Islam, pelajar Sekolah Pendidikan Islam dan wakil AJK EKSA Zon 1 telah berjaya mengosongkan bangunan dalam jangka waktu yang ditetapkan dan berhimpun di tempat berkumpul (assembly area) yang disediakan.
Latihan disusuli dengan sesi taklimat mengenai tindakan segera yang perlu diambil jika berlaku kebakaran oleh Penolong Pegawai Keselamatan dari Jabatan Keselamatan, Mazlan Ismail dan dibantu oleh Pembantu Keselamatan, Nadia Idrus.
Melalui taklimat yang diberikan, peserta program turut didedahkan mengenai pengetahuan tatacara menggunakan peralatan pencegahan dan pemadaman kebakaran yang sedia ada seperti loceng penggera, hose reel dan alat pemadam api dengan cara yang betul.
Penolong Pegawai Tadbir Pusat Islam, Sharif Abdus Salam Sharif Saad yang menguruskan Sekolah Pendidikan Islam turut berpuas hati dengan kerjasama guru-guru agama dalam menjayakan program ini.
Katanya, kesedaran tentang bahaya api ini haruslah diambil peduli oleh setiap individu dan pendidikan mengenainya harus dimulakan di peringkat awal persekolahan.
Latihan kemahiran dan aktiviti fire drill ini turut memenuhi keperluan aktiviti Risiko dan OSHA yang diperlukan oleh setiap jabatan di UUM. – Rozita Mohd Rejab