10 pelajar UUM terima biasiswa penuh BPMB berjumlah RM500,000
KUALA LUMPUR: Seramai 10 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih untuk menerima penajaan biasiswa penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), semalam.
Kesemua pelajar berkenaan terdiri daripada golongan asnaf yang dipilih selepas menjalani saringan temu duga di peringkat UUM dan BPMB, baru-baru ini.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pihak BPMB telah berbesar hati untuk menaja 10 pelajar UUM dengan jumlah keseluruhan RM500,000.
Menurutnya, pelajar-pelajar ini akan ditanggung sepenuhnya sepanjang pengajian mereka termasuk diberikan elaun bulanan sebanyak RM600 setiap seorang dan juga elaun komputer riba bernilai RM2,500 secara ‘one-off’.
“Saya berterima kasih kepada BPMB atas sumbangan tajaan biasiswa ini dan diharapkan pelajar UUM akan manfaatkan sebaiknya dengan menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum,” katanya.
Penyerahan sumbangan biasiswa telah diadakan di KL Lexis Imperial Hotel sempena Majlis BPMB Award of Group Undergraduate Scholarship (BAGUS) 2024 yang disempurnakan oleh Pengerusinya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.
Kesemua pelajar terpilih akan meneruskan program induksi di Tanjung Malim bermula semalam hingga 31 Ogos ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi dan pegawai-pegawai Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar, JHEP , UUM.