RSOG zahirkan ketersediaan jalin usahasama dengan IPDM
CYBERJAYA: Hasrat Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) untuk mengadakan lawatan penanda aras di Razak School of Government (RSOG) Cyberjaya telah berlangsung baru-baru ini.
Pengarah IPDM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib memimpin lawatan tersebut dengan membawa bersama seramai tujuh staf IPDM.
Menurut Dr. Ariffin, agenda utama lawatan tersebut adalah untuk membina jaringan hubungan profesional, di samping memberi pendedahan kepada staf IPDM tentang tatacara pengurusan organisasi yang dipraktikkan oleh RSOG.
Dr. Ariffin dalam sesi pembentangan latar belakang dan program-program di IPDM menyatakan penghargaan dengan ucapan terima kasih atas kesudian pihak RSOG menerima kunjungan IPDM.
Ketua Pegawai Eksekutif RSOG, Dr. Mohamad Kamal Harun dan staf RSOG memulakan perbincangan dengan sesi pengenalan diri semua staf di RSOG.
Mohamad Kamal berkata, RSOG menghimpunkan pakar daripada kerajaan, ahli akademik, industri dan organisasi masyarakat sivil, dengan mereka bentuk, membangun dan menyampaikan program yang menangani isu kontemporari utama dalam penyampaian perkhidmatan awam, kajian dasar dan kepimpinan.
Seterusnya, sesi soal jawab antara staf IPDM dan pihak RSOG merancakkan lagi pertemuan tersebut. Pelbagai teknik dan strategi perundingan dan pengurusan telah dinaratifkan oleh RSOG untuk diadaptasi dan menjadi panduan IPDM bergerak dengan kapasitinya.
Pihak RSOG juga menzahirkan ketersediaan untuk menjalin usahasama dengan IPDM melalui perkongsian kepakaran.
Dr. Mohamad Kamal berkata, keberadaan IPDM di utara tanah air membolehkan ia menjadi hab program di wilayah utara tanah air.
Pada penghujung pertemuan, staf IPDM melawat ke sekitar pejabat RSOG yang mempunyai pelbagai saiz bilik latihan dan seminar, galeri gambar dan lain-lain. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin