CUIC bantu pensyarah sediakan platform Pitching Projek Komuniti
SINTOK: Sesi Pitching Projek Komuniti telah diadakan oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) secara atas talian, baru-baru ini.
Sesi tersebut dihadiri oleh lapan pensyarah dan dibentangkan kepada ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) iaitu Razi Pahlavi Abdul Aziz yang merupakan Pemegang Amanah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Amanie Care Foundation.
Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam menyatakan harapannya agar sesi pitching seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang yang dapat membantu mencetuskan idea-idea baharu dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Selain itu, menurutnya, ia juga dapat memaksimumkan potensi kerjasama antara universiti dan industri.
“Sesi ini bertujuan untuk mengetengahkan serta meningkatkan ketampakan projek-projek komuniti berimpak yang dijalankan oleh pensyarah UUM.
“Pensyarah yang memberi sumbangan kepada komuniti bukan sahaja memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat tetapi juga mempromosikan penggunaan pengetahuan akademik untuk kebaikan bersama. Antara cabaran yang dikongsikan adalah dalam mendekati komuniti dan memperoleh dana untuk menjalankan projek,” katanya.
Dr. Chandrakantan berkata, kerjasama antara universiti dan industri sering kali membawa manfaat besar kepada komuniti.
Menurutnya, melalui kolaborasi ini, universiti dapat menyumbangkan pengetahuan akademik dan penyelidikan mereka, sementara industri menyediakan sumber dan aplikasi praktikal yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
Antara pensyarah yang membentangkan kertas cadangan projek komuniti adalah Prof. Dr. Fauziah Abdul Rahim, Prof. Madya Noraziah Che Pa, Prof. Dr. Norhafezah Yusof dan Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin.
Sesi pitching (lontaran) projek komuniti merupakan strategi yang efektif dalam membina hubungan yang kukuh antara universiti dan industri. Sesi pitching ini bukan sahaja membuka peluang untuk kolaborasi tetapi juga menggalakkan pertukaran idea, memanfaatkan sumber bersama dan menjana impak yang lebih besar untuk komuniti.
Selain itu, projek ini juga membolehkan pensyarah mempersembahkan idea dan projek mereka kepada industri dengan harapan akan mendapat sokongan dan kerjasama yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak termasuklah potensi perolehan dana, sumber, pengkomersialan dan promosi.
Sesi pitching projek komuniti menjadi antara platform yang baik untuk memudahkan pemindahan ilmu antara universiti dan industri. Hasil kajian dan idea daripada pensyarah dibentangkan kepada ahli industri yang berpengalaman dalam menjalankan projek komuniti.
Selain itu, pihak industri juga turut berkongsi pandangan praktikal dan keperluan komuniti yang dapat membantu pensyarah universiti untuk menjalankan projek komuniti yang relevan dan berimpak serta membolehkan industri melihat potensi projek komuniti dan memberikan maklum balas yang berharga untuk memastikan projek komuniti dapat dijalankan dengan jayanya.
Sepanjang sesi tersebut, Razi Pahlavi telah memberi maklum balas yang konstruktif kepada setiap kertas cadangan serta nasihat mengenai bagaimana untuk memperbaiki dan mengembangkan idea-idea.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pensyarah yang membentangkan idea-idea yang sangat komprehansif untuk membantu komuniti.
Menurutnya, pembentangan dijalankan adalah jelas dan lancar dengan mengadaptasi pengetahuan dan kemahiran dari pensyarah.
Turut hadir, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, Pn. Nur Azzah Abu Bakar dan Dr. Mohd Adan Omar serta Timbalan Pengarah CUIC, Muhammad Husaini Salleh. – Azmin Syiham Ahmad Shatir