CUIC, Inari Technology perkukuh kerjasama universiti dan industri
BAYAN LEPAS: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam telah mengadakan lawatan rasmi ke Inari Technology Sdn Bhd sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan sektor industri.
Dr. Chandrakantan berkata, lawatan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai aspek, termasuk penempatan pelajar latihan industri, projek penyelidikan bersama serta inisiatif pembangunan bakat bagi mempersiapkan graduan dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri masa kini.
Inari Technology Sdn Bhd, yang merupakan salah satu peneraju dalam sektor teknologi semikonduktor diwakili oleh Timbalan Naib Presiden, Jabatan Operasi Teknologi, Program Strategik dan EHS, Noorazidi Che Azib serta Senior Eksekutif 2 Sumber Manusia, Shenny Foo.
Mereka menyambut baik kunjungan delegasi CUIC dan berkongsi komitmen syarikat dalam menyokong program latihan industri serta inisiatif kerjasama akademik-industri.
Dr. Chandrakantan turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara universiti dan industri untuk melahirkan graduan yang berkualiti serta relevan dengan pasaran pekerjaan.
“Kerjasama seperti ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan memperkasakan graduan UUM dengan pengalaman industri sebenar yang amat bernilai,” katanya.
Turut serta, Timbalan Pengarah Jaringan Industri, Dr. Normalisa Md Isa dan wakil dari Unit Latihan Industri, Sakinah Sabudin dan Shafiq Afendi Abd. Jamil.
Lawatan ini diakhiri dengan perbincangan lanjut mengenai langkah-langkah strategik bagi memperluaskan lagi kolaborasi antara UUM dan Inari Technology Sdn Bhd pada masa hadapan. – Dr. Normalisa Md Isa