Education

Tingkat kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar dan komuniti

MELAKA: Usrah Associates, sebuah agensi yang berdaftar bawah Takaful Ikhlas Bhd, bersama-sama Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSD), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Literasi Kewangan Demi Masa Depan di Ayer Keroh.

Ketua Pegawai Eksekutif Usrah, Samian menekankan betapa pentingnya literasi kewangan dalam membentuk masa depan yang lebih cerah, terutama bagi golongan muda.

“Literasi kewangan adalah kunci untuk mencapai kestabilan dan kesejahteraan kewangan di masa hadapan.

“Kita ingin memastikan pelajar dan masyarakat mempunyai asas yang kukuh dalam mengurus kewangan mereka,” katanya yang juga alumni UUM.

Program ini merangkumi pelbagai aktiviti, termasuk ceramah interaktif, bengkel pengurusan kewangan dan sesi simulasi perancangan kewangan. Peserta berpeluang belajar tentang topik-topik penting seperti pengurusan bajet, simpanan, pelaburan, dan perancangan kewangan jangka panjang.

Sementara itu, Pegawai Tadbir, Akmal Ahlami Md Rozai berkata, kerjasama antara universiti dan alumni sangat penting dalam menyediakan pelajar dengan ilmu praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

Menurutnya, program seperti ini memberikan pendedahan yang amat berharga kepada pelajar di mana mereka dapat belajar terus daripada pakar dalam bidang kewangan.

Katanya, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar universiti dan komuniti setempat.

Seorang peserta, Nur Haziqah, yang juga merupakan pelajar UUM menyatakan rasa terima kasihnya kepada Usrah Associates dan UUM kerana menganjurkan program ini.

“Program ini sangat berguna, saya kini lebih faham bagaimana untuk mengurus kewangan saya dan membuat perancangan untuk masa depan,” katanya.

Program literasi kewangan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kesedaran yang lebih meluas tentang kepentingan pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar dan masyarakat secara keseluruhan.

Usrah Associates komited untuk terus menjalankan program sebegini di masa hadapan dengan harapan dapat membentuk generasi yang celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi yang mendatang.

Seramai 30 pelajar UUM yang merupakan anak Melaka termasuk beberapa pelajar latihan industri dari Usrah Associates telah menghadiri program ini yang turut disertai staf dari Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP). 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button