Education

Menggapai impian dan cita-cita di sebalik keterbatasan

SINTOK –  Siapa yang tahu isi hati mereka? Murid-murid darjah 4, 5, dan 6 di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga (SKFBT) ini sangat istimewa, meskipun berdepan dengan cabaran utama dalam bentuk kelainan pembelajaran.

Di sebalik senyuman dan semangat mereka, tersembunyi impian dan cita-cita, walaupun mereka harus menempuh perjalanan yang lebih sukar berbanding rakan-rakan sebaya. Setelah lebih 10 bulan menyantuni mereka, Prof. Dr Zulikha Jamaludin, salah seorang ahli Majlis Professor Universiti Utara Malaysia (MPUUM) sangat memahami kesukaran mereka walaupun mereka telah berusaha gigih dengan cara mereka sendiri.

Di sekolah ini, mereka bukan sahaja belajar membaca, menulis, dan mengira seperti kanak-kanak lain, tetapi juga bergaul, berkomunikasi, dan bekerjasama dalam usaha untuk menjadi setara dengan rakan-rakan yang lain.

Mereka mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk memahami sesuatu konsep atau menyelesaikan tugasan, namun semangat dan ketabahan mereka dapat dilihat dalam setiap sesi ‘Program Membaca dan Bercerita’ yang dijalankan dengan kerjasama penuh oleh MPUUM dan SKFBT ini.

Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama Inkubtor Disleksia UUM, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Persatuan Disleksia Malaysia (cawangan Sungai Petani), Kinderkaizen Arau, Perpustakaan Sultanah Bahiyah UUM (Sudut kanak-kanak) dan Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY).

Melalui Program Membaca dan Bercerita ini MPUUM meneliti kelainan pembelajaran dan kesukaran yang murid hadapi selain cuba mencapai objektif  profesor mendekati masyarakat pada akar umbi. Matlamat akhir adalah untuk memberi kesedaran tentang ilmu, memperbaiki kemahiran dalam akademik dan kemahiran insaniah setiap murid.

Kelainan pembelajaran yang dialami oleh murid SKFBT bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh kita semua. Disleksia, disgrafia, dan diskalkulia adalah antara cabaran yang memerlukan sokongan yang lebih intensif daripada ibu bapa, guru, rakan-rakan, dan masyarakat sekeliling. Sokongan ini tidak hanya datang dalam bentuk akademik, tetapi juga dalam bentuk emosi dan sosial, yang penting untuk membina keyakinan diri mereka.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga, Ku Mat Yazid Ku Osman, menekankan betapa pentingnya kerjasama semua pihak dalam memastikan murid-murid ini tidak ketinggalan.

“Kami di sini berusaha sebaik mungkin untuk memberi mereka pendidikan yang setara, tetapi kami memerlukan bantuan dan sokongan dari semua termasuk ibu bapa, guru dan juga komuniti. Ini adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Salah seorang murid darjah 5, Affan yang mengalami Disgrafia, bercita-cita menjadi seorang jurutera suatu hari nanti.

“Saya tahu payah, tapi saya boleh cuma kena ada orang tunjuk ajar,” katanya  dengan senyuman penuh harapan.

Bagi Rayyan, Iman, Afiqah, Zara dan rakan-rakan senasib, setiap hari adalah satu langkah ke hadapan dalam menggapai impian dan cita-cita mereka, meskipun dalam keterbatasan yang ada.

Dalam sesi bimbingannya, Prof. Dr. Zulikha menggunakan pendekatan bercerita santai tetapi interaktif yang direka khusus untuk membantu murid memahami dan menguasai pelajaran asas seperti membaca, menulis dan matematik.

Ini kerana cara mereka belajar tidak sama dengan kebanyakan murid lain. Tempoh mereka boleh memberi perhatian dan ‘speed’ mereka dalam mencerna maklumat yang dipelajari juga tidak sama dengan murid lain. Cabaran sosial, latar belakang keluarga dan kesempitan hidup sesetengah murid ini juga adalah cabaran luaran yang perlukan perhatian. Kelainan dan cabaran ini tentu sekali memerlukan sokongan sumber dan bimbingan yang lebih intensif dari kita semua – ibu bapa, guru, kawan-kawan, dan masyarakat sekeliling.

Cerita mereka adalah inspirasi kepada kita semua, mengingatkan bahawa di sebalik setiap cabaran, terdapat peluang untuk cemerlang. Kita semua mempunyai peranan untuk memastikan mereka mendapat peluang tersebut. Dengan bimbingan dan sokongan yang betul, tiada impian yang terlalu jauh untuk dicapai, tiada cita-cita yang terlalu tinggi untuk diraih.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button