Education

ILP Nibong Tebal kunjungi UUM Press fokus penandaarasan percetakan dan kongsi kepakaran

SINTOK: UUM Press menerima kunjungan hormat daripada delegasi Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai, Nibong Tebal dalam usaha memperkukuh kerjasama dan berkongsi kepakaran khususnya dalam bidang percetakan pagi tadi.

Lawatan yang diketuai oleh Ts. Adnan Ismail bersama enam lagi ahli delegasi itu disambut oleh Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi serta ketua-ketua seksyen UUM Press.

Dr. Mohd Nasrun berkata, lawatan tersebut bertujuan untuk melihat struktur organisasi UUM Press, khususnya dalam bidang percetakan untuk dijadikan tanda aras di institusi berkenaan.

Selain itu, delegasi ILP turut berpeluang mendalami operasi harian serta proses percetakan yang dilaksanakan di UUM Press sebagai persediaan untuk mewujudkan bahagian penerbitan di ILP Nibong Tebal.

Dalam sesi dialog, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai kerjasama strategik bagi menawarkan peluang latihan praktikal kepada pelatih ILP di Seksyen Percetakan UUM Press.

Ts. Adnan berharap lawatan ini akan menjadi langkah pertama ke arah perkongsian yang lebih mendalam, terutama dalam bidang penerbitan buku dan jurnal.

Delegasi ILP turut dibawa melawat ke pelbagai bahagian di UUM Press, termasuk Seksyen Percetakan di mana mereka diberikan penerangan terperinci mengenai teknologi dan proses percetakan yang digunakan.

Lawatan ini memberikan gambaran jelas kepada delegasi tentang amalan terbaik UUM Press yang boleh diterapkan dalam operasi percetakan di ILP.

Lawatan penandaarasan ini diharapkan dapat membuka pintu kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua institusi, sekali gus memantapkan keupayaan percetakan serta latihan industri. – Mohammad Amzari Bakri

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button