BeDigital Bootcamp PETRONAS 2024, perkukuh hubungan universiti dan industri
SINTOK: Program BeDigital Bootcamp PETRONAS telah berjaya dilaksanakan melibatkan lima universiti di utara Malaysia iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh.
Program ini merupakan kohort ke-10 dan juga yang terakhir bagi tahun 2024 dengan penyertaan seramai 98 pelajar.
Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, manakala, pihak PETRONAS diwakili oleh Vice President of Group Project Delivery, Project Delivery and Technology, Ir. Shah Rizal Dahlan.
UUM turut memainkan peranan penting dalam program ini dengan penyertaan seramai 19 pelajar dari pelbagai jurusan yang berlangsung sejak 2 September lalu.
Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, salah seorang pelajar UUM, Norkhaleeda Hamdan yang mengikuti pengajian dalam Sarjana Muda Pemasaran telah berjaya menerima tawaran kerja dari syarikat PICORR Sdn Bhd yang merupakan syarikat yang berpusat di Selangor dan Sarawak dengan penglibatan dalam sektor perkhidmatan seperti pembinaan, pembuatan dan perundingan.
Selain itu, tiga pelajar tahun akhir UUM telah menerima tawaran latihan industri dari syarikat Digital Penang Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri Pulau Pinang. Pelajar-pelajar tersebut adalah Chew Kaixian, Sarjana Muda Sains (Matematik Perniagaan), Nurin Aina Izzati Mohamad Yazid (Sarjana Muda Kewangan) dan Yeoh Kirk Hau (Sarjana Muda Kewangan).
Menurutnya, ini merupakan satu pencapaian membanggakan buat pelajar UUM yang menyertai program ini dan ia merupakan langkah yang signifikan dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara universiti dan industri.
Turut hadir, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDCGEC), Dr. Fikriyah Abdullah; Timbalan Jaringan Industri CUIC, Dr. Normalisa Md Isa serta Pensyarah Kanan Jabatan Pemasaran (SBM), Dr. Norkhazzaina Salahuddin sebagai pensyarah pengiring sepanjang program ini berlangsung. – Siti Nazirah Jaya