Education

Program Industry Immersion ke Melbourne platform pelajar BALBA dalami bahasa, budaya dan industri

AUSTRALIA: Program Industry Immersion pelajar Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA) ke Melbourne dan Sydney, Australia anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) merupakan satu program penting dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran Bahasa Inggeris serta pendedahan kepada penggunaan bahasa dalam persekitaran natif yang berbeza dari kebiasaan.

Ketua delegasi dan Pengerusi Industry Immersion BALBA, Dr. Hasliza Abd Halim berkata, program ini merupakan peluang keemasan bagi pelajar untuk mempraktikkan segala yang telah dipelajari di bilik kuliah.

Menurutnya, program ini bukan sahaja untuk memenuhi salah satu syarat wajib graduasi bagi program Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA) tetapi juga menawarkan pengalaman berharga melalui pendekatan secara hibrid yang akan dijalankan selama dua minggu.

Katanya, penglibatan pelajar dalam persekitaran yang autentik ini akan memperkayakan pemahaman mereka tentang bahasa dan budaya yang akan menjadi aset penting dalam kerjaya mereka kelak.

Program ini telah membuka mata serta meluaskan perspektif pelajar berkaitan budaya, bahasa, komuniti dan industri di Australia.

“Mereka telah memperoleh pengalaman yang tidak ternilai, meningkat keyakinan diri serta mengukuhkan kemahiran berkomunikasi. Sesungguhnya program Industry Immersion ini telah membawa pelajar BALBA terbang tinggi serta mengorak lebih jauh,” katanya.

Program BALBA Industry Immersion 2024 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani dan turut serta Pengarah Education Malaysia Australia (EMA), Dr. Fahmi Abdul Rahim secara atas talian.

Selain itu, pelancaran program ini juga melibatkan Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad bersama pensyarah SLCP untuk meraikan 30 pelajar iaitu seramai 14 ke Melbourne dan 16 lagi pelajar ke Sydney bersama dua pegawai pengiring, Dr. Hasliza dan Norzanita Othman.

Kumpulan pertama pelajar BALBA berada di Melbourne selama sembilan hari iaitu pada 3 hingga 12 September di mana seramai 14 pelajar telah menghadiri kuliah ‘Language, Society and Culture’ yang disampaikan oleh pensyarah dari School of Languages and Linguistics (SOLL), University of Melbourne. Mereka mendapat peluang untuk berinteraksi dengan pelajar tempatan di University of Melbourne. Lawatan ke Science Gallery di Melbourne telah membuka mata dan minat pelajar berkaitan pembelajaran berasaskan objek atau ‘object-based learning’.

Aktiviti kemuncak iaitu ‘Cultural Exchange Showcase’ telah dijalankan di Bangunan Old Arts di kampus University of Melbourne. Acara berkenaan telah menjadi satu platform untuk para pelajar mempersembahkan seni, bahasa dan budaya Malaysia kepada hadirin yang hadir. Pakaian tradisional, permainan dan makanan rakyat Malaysia diperkenalkan. Demonstrasi mencanting batik, permainan batu seremban adalah di antara yang dikongsikan ketika acara itu berlangsung.

Delegasi pelajar dan pegawai pengiring telah dijemput ke sesi berinteraksi santai dengan pensyarah dan pelajar School of Languages and Linguistics. Di dalam sesi lain, satu perbincangan telah diadakan di University House Private Club antara Dekan SOLL dan pegawai pengiring ke arah mencapai persetujuan membuat kolaborasi (MoU) antara dua universiti. Usaha dan hasrat berkenaan telah dipersetujui dan bakal dibuat dalam masa yang terdekat.

Selain itu, satu kunjungan hormat delegasi ke Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne telah berlangsung dan disambut oleh Konsul Jeneral, Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud dan Siti Hanizah Tupani sebagai Konsul Imigresen di Melbourne.

Satu sesi perkongsian kepimpinan dan pertukaran pengalaman belajar di antara Residen Dewan Malaysia atau Malaysia Hall Melbourne bersama pelajar BALBA telah dibuat bagi membuka ruang perkongsian pengalaman dan pendapat. – Dr. Hasliza Abd Halim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button