INASIS Proton eratkan kerjasama UUM dan UMY
YOGYAKARTA: Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Proton telah mengadakan lawatan strategik ke MAGISTER Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia.
Dalam lawatan ini, sesi dialog dan debat bertemakan “How to Continue Studying at UMY” telah diadakan bagi memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua institusi.
Pengarah program, Muhammad Hafizi Masnorhisam berkata, lawatan ini adalah kali kedua INASIS Proton berkolaborasi dengan UMY.
“Sebelum ini, kami pernah menjalinkan kerjasama dengan UMY dan setiap kali lawatan, kami memperoleh pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang amat berharga.
“Program ini tidak hanya bertujuan untuk mempereratkan hubungan, tetapi juga untuk membekalkan pelajar dengan maklumat penting mengenai peluang melanjutkan pengajian di UMY, terutamanya dalam bidang sarjana dan PhD,” katanya.
Muhammad Hafizi juga menekankan bahawa perbincangan yang diadakan memberi tumpuan kepada aspek praktikal seperti yuran pengajian, biasiswa yang tersedia, syarat kelayakan, dan kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar antarabangsa.
Menurutnya, maklumat yang dikongsi dalam sesi ini amat berguna untuk pelajar yang bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar negara.
Sementara itu, Pengetua INASIS Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin turut menyatakan kepentingan sesi ini dalam memberi pendedahan kepada pelajar tentang peluang kerjasama akademik dan pembangunan diri.
“Penglibatan dalam kolaborasi dan perjumpaan seperti ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan pelajar, tetapi juga membuka ruang untuk membina jaringan akademik yang lebih luas antara UUM dan UMY.
“Program seperti ini penting dalam mempersiapkan pelajar menjadi pemimpin masa depan yang lebih berwawasan. Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh diharapkan dapat menjadi dorongan untuk pelajar mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya mereka,” katanya.
Secara keseluruhannya, lawatan strategik ini telah memperkukuhkan lagi hubungan antara UUM dan UMY serta membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama pendidikan pada masa akan datang. – Mohamed Nazreen Shahul Hamid