Education

INASIS Proton sertai Program Khidmat Komuniti Peringkat Antarabangsa

YOGYAKARTA: Seramai 24 peserta telah menyertai program Kuliah Kerja Nyata (KKN) Internasional 3 Negara yang berlangsung di lima kampung iaitu Kampung Pulewulung, Kelor, Jurugan, Bangunsari, dan Karanganyar selama lima hari bermula 19 Ogos lalu.

Turut serta dua pegawai pengiring terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa & Residen Siswa (JKPSRS) Inapan Siswa (INASIS) Proton, Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam program anjuran di bawah Program Proton International Outbound Mobility Jejak Jaringan Dua Hala UUM-Indonesia.

Program ini adalah hasil kerjasama antara Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY, Indonesia), INASIS Proton (UUM, Malaysia), dan Yala Rajabhat University (YRU, Thailand) dengan objektif mempromosikan pertukaran budaya, pembelajaran bahasa, serta perkongsian idea dan pengalaman melalui pelbagai aktiviti di kampung-kampung tersebut sepanjang lima hari.

Pengarah program dari UUM, Muhammad Hafizi Masnorhisam berkata, peserta dari UUM dibahagikan kepada lima kelompok dan menjalankan aktiviti di setiap kampung. Di samping itu, program ini berjaya mewujudkan rangkaian hubungan antara Malaysia, Indonesia, dan Thailand.

Menurutnya, program ini telah membuka banyak peluang baru untuk pertukaran akademik dan budaya, sekali gus membuka jalan untuk kerjasama masa depan yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan institusi.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan di kampung-kampung berkenaan, seperti memasak jenang salak oleh Kelompok 1, mempelajari tulisan aksara Jawa oleh Kelompok 2, menyertai program lumba ibu-ibu anjuran Kelompok 3 sempena Hari Kemerdekaan Indonesia, aktiviti CSR pembersihan pantai oleh Kelompok 4, dan mempelajari alat muzik tradisional Jawa oleh Kelompok 5.

Menariknya, pelajar UUM turut mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 di kampung-kampung terlibat. Mereka tidak hanya menjadi sebahagian daripada perayaan tersebut tetapi juga membuat persembahan kebudayaan yang memaparkan elemen tradisional Malaysia, sekali gus memperkenalkan budaya mereka kepada penduduk tempatan.

Program ini diakhiri dengan majlis evaluasi dan penyampaian sijil, yang disampaikan oleh Kepala Divisi Pengabdian Mahasiswa Lembaga Pengabdian Masyarakat (LPM) UMY, Dr. Aris Slamet Widodo; Pengetua INASIS Proton, UUM, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin dan Maisaroh Samaae (YRU).

Mereka menyifatkan program ini sebagai inisiatif yang sangat bernilai dalam memupuk kemahiran jaringan atau ‘networking’ dalam kalangan mahasiswa dari Indonesia, Malaysia, dan Thailand.

Dr. Aris Slamet Widodo menyambut baik program ini dan menyatakan bahawa ia bukan sahaja memberi peluang untuk pertukaran pengetahuan budaya tetapi juga membina jambatan antara negara, mewujudkan pemahaman yang lebih mendalam serta kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.

Sementara itu, Dr. Mohd Abidzar berkata, melalui program mobiliti ini, pelajar telah memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang sangat berharga.

Pada masa yang sama, ia membuka ruang untuk membina hubungan baik antara kedua-dua universiti serta kerjasama lain dengan UMY pada masa akan datang. – Mohamed Nazreen Shahul Hamid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button