Kembara Ilmu Di Bawah Bayu: SAPSP perkasa komuniti melalui ilmu dan khidmat masyarakat
KOTA KINABALU: Program Kembara Ilmu Di Bawah Bayu anjuran Pusat Psikologi Gunaan, Kerja Sosial dan Polisi (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan di daerah Tuaran dan Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar berkata, program yang berlangsung selama empat hari itu bertujuan untuk meningkatkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat melalui aktiviti pendidikan, kebajikan dan khidmat masyarakat, di samping untuk mempromosikan program pengajian pascasiswazah yang ditawarkan oleh SAPSP.
Menurutnya, bersama 15 pensyarah, delegasi SAPSP telah mengadakan pelbagai aktiviti di beberapa lokasi terpilih, antaranya sesi perkongsian ilmu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tuaran di mana pensyarah UUM memberi motivasi dan inspirasi kepada pendidik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.
Selain itu, katanya, delegasi turut membuat kunjungan hormat dan promosi ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah dan Ibu Pejabat Penjara Negeri Sabah.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk sekolah, institusi dan masyarakat setempat yang memberi sokongan penuh kepada kejayaan program ini.
“Saya berharap bahawa program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan untuk meningkatkan lagi kolaborasi antara universiti dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah program, Dr. Mohd Ahsani A.Malek berkata, delegasi turut melawat Rumah Tradisional Lotud dan mengadakan projek khidmat komuniti di Sekolah Menengah St. James, Tenghilan, Tuaran.
“Semua peserta program terlibat dengan aktiviti mengecat asrama desa SMK St James, menyediakan kabinet buku bagi mini perpustakaan dan mengadakan aktiviti bersama pelajar dan Persatuan Ibu Bapa sekolah tersebut.
“Usaha mewujudkan mini perpustakaan ini adalah untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar, di samping meningkatkan akses kepada sumber ilmu. Buku dan alat permainan pendidikan tersebut adalah hasil sumbangan daripada staf SAPSP,” katanya.
Selain program khidmat komuniti di sekolah, program ini juga memperkukuhkan kerjasama antara UUM dan Kolej Universiti Jesselton (JUC), di mana 30 pelajar cemerlang JUC yang menerima biasiswa berpeluang bertemu dengan pensyarah dan berkongsi aspirasi mereka.
Program Duta Jenama JUC, Mr. Stanley Missun turut menjadi platform untuk pelajar mengenali kisah kejayaan yang memberi inspirasi.
Program Kembara Ilmu Di Bawah Bayu diakhiri dengan lawatan ke Jambatan Tamparuli, simbol ikonik Sabah di mana peserta program menikmati suasana alam dan budaya tempatan.
Program ini telah mencapai objektif utamanya untuk memupuk semangat kesukarelawan, kerjasama, dan pemerkasaan ilmu dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat, di samping mempromosikan program pengajian yang ditawarkan oleh UUM. – Dr. Mohd Ahsani A.Malek