Jejaki peluang kerjasama dan kerjaya bersama PayNet Sdn. Bhd.
KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi libat urus bersama PayNet di Menara Southpoint @ Mid Valley, baru-baru ini dalam inisiatif Kampus Tanpa Tunai.
Setiausaha, Jawatankuasa Kampus Tanpa Tunai UUM-PayNet, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli berkata, program ini bertujuan untuk memacu transformasi digital di kalangan pelajar UUM melalui penggunaan teknologi tanpa tunai di kampus.
Delegasi UUM seramai 23 orang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pendigitalan Kampus Tanpa Tunai dan duta pelajar tiba di ibu pejabat PayNet dan memulakan lawatan ke “Immersive Wall” serta kawasan sekitar ibu pejabat tersebut.
Sesi taklimat dimulakan dengan menampilkan perkongsian daripada Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet yang diketuai oleh Pengurus Kanan (Sektor Pendidikan) Bahagian Pendigitalan Kerajaan, Tengku Sofiah Aishah Tengku Mahmood dan Eksekutif Kanan, Bahagian Pendigitalan Kerajaan, Muhammad Haziq Hilman Muhammad Arif.
Pengarah Kanan PayNet, Firdaus Ghani turut hadir memberikan pandangan strategik tentang masa depan digitalisasi di sektor kerajaan.
Menurutnya, terdapat empat kriteria utama yang perlu ada pada calon yang akan ditemuduga untuk program ini iaitu pengetahuan, kompetensi, pengalaman dan ciri-ciri peribadi.
Sesi perkongsian lebih menarik apabila melibatkan alumni UUM yang kini memegang jawatan penting di PayNet ialah Eksekutif Kanan, Bahagian Pendigitalan Kerajaan, PayNet Sdn Bhd, Nurul Najiha Byrose Khan.
Beliau menceritakan pengalaman beliau sewaktu di UUM dan apa yang membuatnya kini bergelar kakitangan di PayNet. Selain itu, pihak PayNet juga berkongsi peluang latihan industri di bawah program TGP (Technology Graduate Programme) dan ALP (Aspiring Leader Programme).
Sesi perkongsian Fasa 1 Inisiatif Kampus Tanpa Tunai dimulakan oleh UUM, diikuti dengan sesi “Career Talk” bersama Bahagian Sumber Kemanusiaan PayNet. Siri perkongsian ilmu bersama alumni UUM, Nurul Najihah telah merangsang motivasi para pelajar yang hadir untuk lebih berkeyakinan dengan kemampuan masing-masing.
Program ini dijangka membuka peluang kerjasama antara UUM dan PayNet dalam usaha memupuk graduan yang bersedia menghadapi dunia digital yang semakin berkembang.