Education

IBMC 2024 fokus ekonomi hijau halal dan digitalisasi

Gambar Muhammad Ibrahim Nayan 

 PULAU PINANG: The 5th UUM International Islamic Business Management Conference 2024 (IBMC 2024) menjadi wadah kepad apembentang dan peserta membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi halal, ekonomi hijau, serta digitalisasi, yang semuanya bertepatan dengan objektif Maqasid Shariah. 

Persidangan anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diadakan di Bertam Resort itu bertemakan “Empowering Halal Green Economy and Digitalisation Towards Maqasid Shariah” yang diadakan secara hibrid dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pemain industri serta pelajar. 

Pengerusi Lembaga Pengarah FWD Takaful Berhad, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin telah merasmikan persidangan dan menyampaikan ucaptama bertajuk “Empowering Halal Green Economy and Digitalisation Towards Maqasid Shariah”.

Beliau menekankan bahawa perjalanan Malaysia dalam memperkasa ekonomi hijau halal melalui pendigitalan yang berlandaskan prinsip Maqasid Shariah merupakan bukti komitmen negara terhadap pertumbuhan yang beretika, lestari dan inklusif.

“Gabungan Pelan Induk Industri Halal 2030 dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia menyediakan kerangka komprehensif bagi mencapai matlamat tersebut.

“Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 merangka sistem kewangan untuk mencapai masyarakat yang lebih adil dan saksama melalui pelbagai inisiatif,” katanya.

Selain ucaptama tersebut, persidangan ini turut menampilkan pembentangan daripada beberapa penceramah jemputan iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Azmi Omar; Ketua Pegawai Pengedaran FWD Takaful Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi; Pengarah Ekosistem Syariah, KNEKS, Indonesia, Dr. Sutan Emir Hidayat; Ketua Pegawai Operasi Zakat Pulau Pinang, Ts. Dr. Samsudin Wahab  dan Profesor di Institute of Islamic Banking and Finance UIAM, Prof. Dr. Romzie Rosman. 

Forum bertajuk “Accenture for Digital Halal Economy: What Needs to be Done?” turut diadakan yang dikendalikan moderator, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof dari UUM bersama panel iaitu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ProductS2U Sdn. Bhd.,Muhamad Farhan Khairol Anuar; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank, Dafinah Ahmed Hilmi dan Pengarah Kanan Strategi & ESG, Payment Networks Malaysia Sdn. Bhd., Azleena Idris.

Persidangan ini mendapat tajaan oleh beberapa institusi termasuk Zakat Pulau Pinang, Bank Islam Malaysia Berhad, FWD Takaful Berhad, Hong Leong Islamic Bank, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Persatuan Koperasi Islam Thailand (FICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dana Takaful Sosial UUM, Aufaa Services Sdn. Bhd. dan Kasyaf Bina Sdn. Bhd. 

Sepanjang dua hari persidangan, sebanyak 11 sesi selari telah dijalankan secara fizikal dan dalam talian, disertai dengan pelbagai pembentangan poster. Persidangan ini menarik 120 peserta dan pembentang dari pelbagai negara termasuk Turki, Nigeria, Thailand, Indonesia, Mesir dan Filipina. 

Sesi resolusi persidangan yang disampaikan oleh Pengarah IBMC 2024, Dr. Zairy Zainol yang menyimpulkan bahawa konsep ekonomi halal dan Maqasid Shariah perlu dijelaskan dengan lebih mendalam dan diterjemahkan dalam konteks yang mudah difahami serta diamalkan.

Selain itu, menurutnya, satu platform kerjasama yang melibatkan pihak akademik, pemain industri, dan pembuat dasar perlu diwujudkan bagi mempercepatkan penerapan ekonomi halal, ekonomi hijau, serta digitalisasi dalam kerangka pencapaian Maqasid Shariah. 

Persidangan ini telah melabuhkan tirainya dengan perasmian penutup oleh Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam UUM, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor. – Dr. Zairy Zainol 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button