Education

SKRIPT’24 bantu kurang kesan risiko

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK: Dalam membudayakan aspek pengurusan risiko untuk mengurangkan impak pembetulan secara komprehensif, Majlis Pengurusan Risiko Universiti Awam (MARISK) dan Bahagian Pengurusan Risiko, Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Sidang Kemuncak Risiko Institusi Pendidikan Tinggi 2024 (SKRIPT’24) selama dua hari bermula semalam.

Pengarah Bahagian Governan, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Hussin Mahmud berkata, SKRIPT’24 menyalurkan banyak informasi yang dapat dikongsi untuk memantapkan tadbir urus berkaitan pengurusan risiko di institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, pengurusan risiko perlu diambil perhatian untuk tadbir urus dan sebagai tata kelola badan berkanun persekutuan.

Katanya, inti pati persidangan ini kelak akan membantu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan maklumat kertas polisi tentang pengurusan risiko.

“Ini adalah satu usaha yang sangat baik dan saya berharap ianya berterusan pada masa hadapan.

“Perkongsian ini diperlukan dan pada masa sama, pengurusan risiko dalam kerajaan ini masih belum mencapai tahap ke hadapan seperti syarikat-syarikat swasta seperti Etiqa, Tabung Haji dan lain-lain,” katanya yang mewakili Ketua Setiausaha KPT di EDC UUM, pagi tadi.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, SKRIPT merupakan platform penting untuk berkongsi pandangan dan pengalaman tentang isu-isu risiko yang dihadapi oleh institusi pendidikan tinggi di Malaysia, terutama dalam konteks ketahanan, ketangkasan dan kelestarian.

Menurutnya, topik-topik seperti kecerdasan buatan, risiko fasiliti, landskap risiko institusi pendidikan tinggi dan kelestarian akan menjadi tumpuan perbincangan selama dua hari ini, dan beliau percaya ia akan memberi banyak manfaat kepada semua peserta.

Katanya, sidang kemuncak ini juga dapat menjadi medan terbaik untuk semua memperkasa pengetahuan, mengukuhkan kerjasama dan membina jaringan antara institusi dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan yang berterusan.

“Saya juga menjangkakan perbincangan yang bakal diadakan dapat menghasilkan idea-idea yang inovatif dan penyelesaian yang praktikal bagi menangani cabaran-cabaran risiko yang dihadapi oleh institusi pendidikan tinggi.

“Terima kasih kepada MARISK atas penganjuran sidang kemuncak ini yang dianjurkan bersama dengan Bahagian Pengurusan Risiko, Jabatan Canselori UUM,” katanya.

Turut diadakan Pelancaran MARISK dan Buku Amalan Pengurusan Risiko Universiti Awam Malaysia serta penyampaian sijil Pertandingan Mencipta Logo MARISK kepada pemenang, Abdul Muiz Basyir Mohamad yang menerima hadiah wang tunai RM200 berserta sijil penghargaan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail telah menyampaikan ucap tama beliau di SKRIPT 2024.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button