Pelajar BALBA sambut Hari Malaysia di bumi Sydney
SYDNEY: Kumpulan kedua pelajar Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA) telah menyambut Hari Malaysia di bumi Sydney sambil mendalami bahasa, budaya, dan industri masyarakat setempat.
Kumpulan kedua ini disertai oleh 16 pelajar serta dua pegawai pengiring iaitu Dr. Hasliza Abdul Halim dan Norzanita Othman.
Kumpulan delegasi ini meraikan Hari Malaysia dengan kibaran Jalur Gemilang di sekitar Opera House Sydney bersama ahli persatuan Australia-Indonesia Youth Association (AIYA) yang turut dihadiri Pengarah AIYA Chapter UNSW, Charlotte Oliver.
Terdahulu, pelajar telah membuat pembentangan projek kelestarian berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Konsul Pelaburan, MIDA, Noraisyah Nordin dan Pegawai pelaburan, MIDA, Mohamad Hasif Farhan Harith turut memberi taklimat berkaitan latar belakang dan tugas-tugas MIDA serta tentang dunia pelaburan, syarikat serta industri yang terlibat dan peluang-peluang kerjaya.
Selain itu, delegasi telah mengadakan kunjungan hormat ke Education Malaysia Australia (EMA) yang disambut oleh Konsul dan juga Pengarah EMA, Dr. Fahmi Abdul Rahim.
Beliau menyampaikan taklimat berkaitan peranan EMA dan menegaskan tentang peranan dan tugas setiap rakyat Malaysia semasa berada di dalam dan luar negara serta jati diri dan sifat sayangkan negara kepada setiap individu yang hadir.
Kemudian, diadakan juga sesi perkongsian kepimpinan dan pertukaran pengalaman belajar di antara residen Dewan Malaysia atau Malaysia Hall Sydney bersama pelajar BALBA bagi membuka ruang perkongsian pengalaman dan pendapat.
Persatuan Residen Dewan Malaysia (MHRC) telah banyak membantu dari segi kolaborasi bersama pelajar BALBA di mana beberapa residen Dewan Malaysia Sydney menjadi ‘buddies’ bagi program ‘Industry Immersion’ ini yang membantu menyiapkan kerja-kerja untuk projek kelestarian.
Program Industry Immersion BALBA ke Sydney, Australia yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) ini telah mendedahkan pelajar dengan kemahiran bahasa Inggeris serta pendedahan kepada penggunaan bahasa dalam persekitaran natif.
Program ini telah berjaya membentuk jatidiri pelajar serta meluaskan perspektif pelajar berkaitan bahasa dan komuniti di Australia. Selain itu para pelajar juga belajar menjadi lebih yakin berkomunikasi, berpeluang bertukar pandangan dengan komuniti setempat serta belajar melengkapi diri ke arah kerjaya yang lebih terjamin dan profesional.
Pengalaman berharga ini akan menjadi satu titik tolak pembinaan sahsiah pelajar selain mencipta satu memori indah menyambut Hari Malaysia di luar negara. – Hasliza Abd Halim